Khamis, 22 March 2018 | 11:52pm
Murni (kiri) dengan penduduk kampungnya berenang kembali ke kampung mereka dengan botol air bersih di Tinambung, Sulawesi Barat. - Foto AFP

Berenang cari air bersih

MAKASSAR: Penduduk kampung, Mama Hasria terpaksa berenang ke hulu sungai membawa 200 bekas plastik yang diikat di belakangnya setiap hari, bersama beberapa wanita lain semata-mata mendapatkan bekalan air bersih untuk penduduk kampungnya di pulau Sulawesi.

Ketika matahari terik, Mama memulakan perjalanan sejauh empat kilometer (km), selama sejam di sepanjang sungai keruh Mandar ke telaga bersih dibina di sepanjang tebing sungai.

Wanita berusia 46 tahun itu mengisi penuh bekas dengan air bersih untuk minum yang ditapis dan dibersihkan tanah sekitarnya.

Tugas dilakukan Mama dan rakan-rakannya mendapat upah sekitar 500 rupiah (RM0.14) untuk setiap bekas air atau RM27.40 untuk semua bekas, sangat penting bagi 5,800 keluarga yang tinggal di daerah Tinambung.


Seorang pekerja mendapatkan air bersih di tepi sungai Mandar di Tinambung, Sulawesi Barat. - Foto AFP

Sempena Hari Air Sedunia disambut hari ini, inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini adalah menumpukan penyelesaian 'berasaskan alam semula jadi' bagi penyumberan bekalan air minum secara global.

Bagi penduduk Tinambung ia adalah satu cabaran kerana bertahun lamanya mereka mengadu kekurangan sumber bekalan air bersih di perkampungan nelayan terpencil itu.

"Kami terpaksa mengambil air dari hulu sungai untuk minum dan memasak. Air di kampung ini hanya boleh digunakan untuk mandi dan mencuci pakaian," kata Mama.

Masyarakat lain terpaksa bergelut dengan masalah yang sama di Indonesia, negara yang berdepan banyak masalah alam sekitar dan pencemaran Sungai Citarum, mengalir ke laut dekat ibu kota ini. -AFP

Berita Harian X