Jumaat, 23 Februari 2018 | 8:30pm
FOTO hiasan.

Kertas peperiksaan pelajar Singapura dicuri

SINGAPURA: Kertas peperiksaan lebih 200 pelajar sekolah ditadbir Britain di Singapura dicuri ketika dihantar untuk diperiksa, kata lembaga peperiksaan republik itu hari ini.

Bungkusan mengandungi 238 kertas periksa Kimia GCE A-Level H2 dicuri daripada penghantar di Britain ketika ia dalam perjalanan kepada pemeriksa, kata lembaga, menambah polis Britain sedang menyiasat kecurian itu.

Rakyat Singapura amat mementingkan kecemerlangan akademik.

Ibu bapa sanggup membayar sehingga AS$700 (RM2,739) untuk kursus empat sesi tuisyen peribadi dan sebahagian tutor menjadi jutawan dengan kerjaya mereka.

"Kami faham kebimbangan yang dihadapi calon. Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dan sekolah berhubung dengan mereka dan ibu bapa masing-masing dan akan terus memberikan sokongan kepada mereka," kata ketua eksekutif SEAB, Tan Lay Choo.

Lembaga peperiksaan berkata, 238 pelajar yang terjejas, mewakili tiga peratus daripada mereka yang menduduki peperiksaan itu, diberikan 'penilaian sah dan adil' dan semuanya lulus dalam keputusan yang disiarkan hari ini.

Prestasi pelajar dalam kertas lain dan prestasi dalam subjek digunakan untuk menentukan gred keseluruhan.

"Tiada siapa menjangka sesuatu seperti ini akan berlaku.

"Ia agak mengejutkan," kata Micole Lim, 18, seorang daripada 66 pelajar Institut Hwa Chong yang terjejas akibat kejadian itu.

Semua yang terbabit mempunyai pilihan untuk mendaftar menduduki peperiksaan semula lewat tahun ini. - Reuters

Berita Harian X