Ahad, 22 November 2015 | 5:10pm

Najib terharu tonton klip video mengenai Tun Razak


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Tayangan klip video pada Sidang Kemuncak bersempena ulang tahun ke-40 hubungan ASEAN-New Zealand di sini hari ini, yang berkisar tentang komitmen Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terhadap ASEAN dan hubungannya dengan New Zealand, amat menyentuh perasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persembahan klip video hitam putih terbitan New Zealand itu menunjukkan Allahyarham Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua Malaysia (1970-1976), menghadiri pelbagai mesyuarat berkaitan ASEAN dan New Zealand.

Najib menonton video itu dengan penuh terharu sambil mengenang kembali sumbangan ayahanda beliau, sebelum menyampaikan ucapan pembukaan pada sidang kemuncak berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri New Zealand, John Key.

"Saya ucap terima kesih kepada Perdana Menteri Key atas persembahan video ini, yang menunjukkan kejayaan penting dalam hubungan ASEAN-New Zealand," kata Najib pada permulaan ucapannya.

Beliau berkata, hubungan rasmi antara ASEAN dengan New Zealand kini sudah mencapai usia empat dekad.

"Sejak 1975, kita telah menyaksikan kerjasama sentiasa diperkukuh dan ditingkatkan melalui pelbagai inisiatif serta usaha kedua-dua pihak," katanya sambil menjelaskan bahawa kunjungan Key ke ibu negara Malaysia untuk menghadiri sidang kemuncak itu menunjukkan New Zealand sangat mementingkan hubungannya dengan ASEAN.

Najib menegaskan bahawa sidang kemuncak itu akan melakar arah tuju strategik baharu bagi kerjasama yang sedia wujud antara kedua-dua pihak serta mengukuhkan lagi fokus ASEAN terhadap usaha meningkatkan integrasi serantau melalui Komuniti ASEAN.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Najib mengucapkan tahniah kepada New Zealand kerana menjuarai kejohanan Ragbi Piala Dunia baru-baru ini apabila mengalahkan seteru utamanya, Australia, 34-17.

- BERNAMA

Berita Harian X