Khamis, 7 Julai 2022 | 11:13am
IMF mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April lalu, dan tidak menafikan kemungkinan berlakunya kemelesetan global tahun depan. - Foto hiasan
IMF mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April lalu, dan tidak menafikan kemungkinan berlakunya kemelesetan global tahun depan. - Foto hiasan

IMF tidak tolak kemungkinan kemelesetan global tahun depan

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan prospek ekonomi global 'menjadi gelap dengan ketara' sejak April lalu, dan tidak menafikan kemungkinan berlakunya kemelesetan global tahun depan.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata agensi itu akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga, yang ketika ini diunjurkan sebanyak 3.6 peratus, dan pakar ekonomi IMF sedang memuktamadkan angka baharu.

IMF dijangka menerbitkan ramalan terkini bagi 2022 dan 2023 hujung bulan ini selepas menurunkan unjuran awalnya sebanyak hampir satu mata peratus, April lalu. Tahun lalu, ekonomi global berkembang sebanyak 6.1 peratus.

"Prospek sejak kemas kini terakhir April lalu semakin gelap secara ketara. Kita berada dalam laut yang amat bergelora," katanya.

Tambah Georgieva, kemelut itu berpunca daripada inflasi yang menjejaskan semua negara, peningkatan kadar faedah yang tinggi, pertumbuhan ekonomi China yang perlahan dan pertambahan sekatan berkaitan perang Russia di Ukraine.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva. - Foto REUTERS
Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva. - Foto REUTERS

Ditanya sama ada kemungkinan kemelesetan global tidak akan berlaku, beliau berkata: "Risikonya sudah meningkat, jadi kami tidak boleh menafikannya."

Katanya, data ekonomi terkini menunjukkan negara dengan ekonomi yang besar termasuk China dan Russia, menguncup pada suku kedua tahun ini, dan risikonya menjadi lebih tinggi tahun depan.

"Keadaan semasa pada tahun ini adalah sukar, namun ia akan bertambah sukar pada 2023. Risiko kemelesetan meningkat tahun depan," katanya.

Menurut Georgieva, kawalan kewangan jangka panjang yang lebih ketat akan menyukarkan unjuran perkembangan ekonomi global tetapi adalah penting bagi mengekang kenaikan harga barangan dengan segera.

Masa depan global kini semakin tidak menentu berbanding dua tahun lalu, dengan negara pengeksport tenaga termasuk Amerika Syarikat (AS) berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara pengimport.

"Pertumbuhan ekonomi lebih perlahan adalah 'harga yang perlu kita bayar' susulan tekanan dan tuntutan supaya kestabilan harga dikembalikan.

"Peningkatan risiko serta perbezaan antara dasar fiskal dan kewangan memerlukan negara melakukan penyelarasan teliti dalam setiap tindakan, jangan sampai sokongan fiskal menjejaskan keupayan bank mengawal inflasi.

"kita perlu mewujudkan penyelarasan lebih kukuh antara bank pusat dan Kementerian Kewangan supaya sokongan bersasar dapat diberikan... tanpa melemahkan dasar kewangan yang ingin dicapai," katanya. - REUTERS

Berita Harian X