Khamis, 5 Mei 2022 | 4:29pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres. - Foto REUTERS
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres. - Foto REUTERS

Isu keselamatan makanan tidak akan selesai - PBB

NEW YORK: Isu keselamatan makanan global tidak dapat diselesaikan tanpa Ukraine, Russia dan Belarus kembali ke pasaran dunia, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres.

"Masalah itu tidak akan selesai tanpa membawa kembali Ukraine sebagai pengeluar hasil pertanian dan makanan manakala Russia dan Belarus selaku pembuat baja utama, kembali ke pasaran dunia.

"Saya berazam untuk berusaha sedaya upaya untuk memudahkan dialog yang boleh membantu selesaikan isu itu," katanya pada sidang media, yang dipetik Sputnik.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Russia dan Ukraine adalah antara pengeksport global utama pelbagai jenis makanan ruji, termasuk gandum dan jagung, pada 2021.

Sementara itu, Rusia adalah pengeksport utama baja nitrogen, pengeksport utama kedua, pembekal baja kalium dan pembekal baja fosforus ketiga terbesar.

Menurut FOA pengeluaran makanan Ukraine diancam oleh faktor seperti gangguan logistik, kehilangan akses kepada tanah pertanian, kekurangan buruh, kerosakan tanaman dan kemusnahan aset dan infrastruktur sistem makanan.

Sementara itu, sekatan Barat ke atas Russia menjejaskan penjualan produk pertanian di luar negara dan menyebabkan Moscow bertindak balas dengan membekukan eksport baja.

Akibatnya, harga makanan global mencecah paras tertinggi pada Mac, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran harga makanan global mungkin terus meningkat berikutan konflik di Ukraine, sekatan terhadap Russia dan Belarus, serta isu perubahan iklim. - BERNAMA

Berita Harian X