Jumaat, 25 Februari 2022 | 12:33pm
 Lapangan Terbang Antarabangsa Anchorage, Alaska. - Foto AGENSI
Lapangan Terbang Antarabangsa Anchorage, Alaska. - Foto AGENSI

Industri penerbangan teliti kesan konflik Russia-Ukraine

ALASKA: Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Anchorage di Alaska memaklumkan syarikat penerbangan mula mengemukakan pertanyaan mengenai kapasitinya jika laluan merentasi Russia terkesan dalam krisis Ukraine.

Ia sekali gus menandakan kesan konflik itu yang mula dirasai industri penerbangan global.

Lapangan terbang itu adalah hab pengisian minyak yang popular bagi penerbangan jarak jauh pada Perang Dingin, ketika pesawat Barat tidak dapat menggunakan ruang udara Russia untuk perjalanan dari Eropah ke Asia.

Japan Airlines membatalkan perjalanan ke Moscow petang semalam atas alasan risiko keselamatan, manakala Britain menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan Russia, termasuk Aeroflot, ketika kesan konflik terhadap industri semakin meluas melangkaui Ukraine ke Russia.

Semalam, tentera Ukraine bertempur dengan penceroboh Russia dari tiga bahagian selepas Moscow melancarkan serangan terbesar terhadap negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Konflik itu menyebabkan ruang udara di Ukraine, Moldova, sebahagian Belarus dan selatan Russia berhampiran sempadan Ukraine ditutup, menyebabkan syarikat penerbangan memiliki pilihan perjalanan yang terhad.

Emirates membuat perubahan laluan kecil untuk menuju ke Stockholm, Moscow, St Petersburg dan beberapa penerbangan Amerika Syarikat (AS) terkesan dengan penutupan ruang udara itu, menyebabkan tempoh penerbangan yang lebih panjang.

Koperasi industri penerbangan, OPSGROUP, yang berkongsi maklumat risiko penerbangan, berkata mana-mana pesawat yang melalui ruang udara Russia perlu memiliki perancangan luar jangka sekiranya ruang udara ditutup akibat risiko atau sekatan.

"Russia tidak mungkin akan mengenakan sekatan dan larangan ruang udara sendiri kerana mereka tidak mahu Aeroflot menerima kesannya.

"Namun, mereka mungkin bertindak balas terhadap sekatan yang dikenakan negara lain," katanya.

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pula akan membincangkan konflik Ukraine dalam satu sidang hari ini.

Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa memaklumkan tiada keperluan untuk syarikat itu membatalkan perjalanan ke Moscow.

Ketika syarikat penerbangan menilai risiko itu, mereka turut berdepan lonjakan harga minyak kepada lebih AS$105 (RM440) satu tong buat pertama kali sejak 2014, akibat konflik berkenaan, sekali gus meningkatkan kos operasi ketika permintaan masih rendah akibat pandemik. - REUTERS

Berita berkaitan:

  • 137 maut hari pertama pertempuran - Presiden Ukraine
  • Kongres AS bekal senjata bernilai AS$600 juta kepada Ukraine
  • Biden umum lebih banyak sekatan ke atas Russia
  • EU setuju laksana sekatan lebih teruk terhadap Russia
  • Ukraine henti operasi semua pelabuhan komersial
  • Tentera Russia tawan loji nuklear Chernobyl
  • Tentera Ukraine tembak jatuh pesawat musuh
  • Pos sempadan Ukraine dibedil peluru berpandu
  • Berita Harian X