Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:53am
Gambar fai menunjukkan perjumpaan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken (kiri) dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov (kanan). - Foto AFP
Gambar fai menunjukkan perjumpaan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken (kiri) dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov (kanan). - Foto AFP

AS, Russia jumpa minggu depan bincang isu Ukraine

WASHINGTON: Menteri Luar Amerika Syarikat (AS) dan Russia akan bertemu minggu depan berhubung krisis di Ukraine sekiranya tiada serangan dilancarkan sebelum itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menerima jemputan bagi menemui rakan sejawatnya dari Russia, Sergei Lavrov, minggu depan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Jabatan Negara AS, semuanya bergantung kepada sama ada Russia menyerang Ukraine sebelum itu.

Blinken juga dijadualkan bertemu menteri luar beberapa negara Barat hari ini berhubung isu sama, ketika menghadiri Persidangan Keselamatan Munich.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, berkata perjumpaan yang disyorkan oleh AS itu dibuat atas kesedaran bahawa krisis itu perlu diselesaikan menerusi saluran diplomasi dan berdialog.

Terdahulu, dalam satu taklimat khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Blinken berkata maklumat risikan menunjukkan Moscow mungkin mengarahkan serangan terhadap Ukraine 'dalam beberapa hari lagi'.

Pada masa sama, AS dan negara Barat lain berkata setakat ini tiada tanda-tanda bagi menyokong dakwaan Russia bahawa ia sudah mengundurkan tenteranya dari sempadan dengan Ukraine.

Sehubungan itu, Blinken mencabar Kremlin membuat kenyataan terbuka dengan jaminan tidak akan menyerang Ukraine.

"Buktikan dengan memanggil pulang meriam, kereta perisai, pesawat dan anggota tentera kembali ke pangkalan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, berkata pihaknya bimbang Russia akan cuba cari alasan bagi menyerang Ukraine.

"Kita masih tidak jelas mengenai motif atau hasrat Russia dalam isu ini kerana semua tanda-tanda menunjukkan perang akan berlaku pada bila-bila masa.

"Russia sudah menempatkan cukup anggota tentera dan kelengkapan perang di sempadan dengan Ukraine untuk melancarkan serangan penuh dengan kadar segera," katanya.

Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden, akan meneruskan usaha diplomatik bagi meredakan krisis Russia-Ukraine dengan panggilan kepada pemimpin Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Romania, Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan NATO. - AGENSI

Berita Harian X