Sabtu, 5 Februari 2022 | 12:40pm
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

Lebih 900,000 mati akibat COVID-19 di AS

NEW YORK: Angka kematian akibat jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mencecah 900,000 semalam, menurut data Universiti Johns Hopkins.

Dengan jumlah kes melebihi 76.2 juta, angka kematian di seluruh AS meningkat kepada 900,528 setakat jam 5.22 petang waktu tempatan (2222 GMT), lapor agensi berita Xinhua.

California mendahului kadar kematian akibat COVID-19, dengan 80,798 kematian. Texas merekodkan kadar kematian kedua tertinggi iaitu 80,459 korban diikuti Florida dengan 65,993 dan New York dengan 65,578 kes.

AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas dilanda wabak itu dengan jumlah kes dan angka kematian tertinggi di dunia, menyumbang hampir 20 peratus daripada kes global dan lebih daripada 15 peratus kematian global.

Di Jerman, jumlah kes harian COVID-19 mencecah paras tertinggi semalam, dengan 248,838 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut Institut Robert Koch (RKI) bagi penyakit berjangkit, jangkitan COVID-19 di negara itu terus meningkat tujuh hari berturut-turut dan mencecah rekod baharu 1,349.5 jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk.

"Gelombang Omicron perlahan-lahan merebak dalam kalangan warga emas dan lebih banyak kes dilaporkan di rumah jagaan," kata RKI dalam ciapan Twitter.

Meskipun jumlah jangkitan meningkat, bilangan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kekal sekitar 2,300, jauh di bawah paras tertinggi sekitar 5,700 ketika kemuncak gelombang kedua pada awal 2021, menurut Pendaftaran Unit Rawatan Rapi Jerman (DIVI).

"Kajian mencadangkan varian Omicron menyebabkan kadar kemasukan ke hospital lebih rendah berbanding varian Delta pada individu yang lengkap divaksin atau menerima vaksin penggalak," kata RKI dalam laporan mingguan terbarunya.

Setakat ini, lebih 74 peratus penduduk Jerman lengkap dua dos vaksin. Sebilangan kecil rakyat Jerman, atau 53 peratus, terus menyokong usaha vaksinasi COVID-19 dalam kalangan orang dewasa, menurut tinjauan DeutschlandTrend yang diterbitkan penyiar ARD pada Khamis. – BERNAMA

Berita Harian X