Selasa, 4 Januari 2022 | 1:07pm
- FOTO AFP
- FOTO AFP

Emma Watson nyata solidariti terhadap Palestin

WASHINGTON: Pelakon British, Emma Watson menyuarakan solidariti bersama aktivis pro-Palestin di media sosial, sehingga menimbulkan tentangan daripada pegawai Israel dan juga pujian daripada pengguna media sosial pro-Palestin.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan, pelakon terkenal dengan watak Hermione Granger dalam filem Harry Potter pada Ahad lalu, menyiarkan semula gambar 'Bad Activist Collective' yang sebelum ini dimuat turun pada Mei lalu di Instagramnya, memaparkan dengan jelas aktivis pro-Palestin berarak dengan perkataan 'Solidarity is a verb'.

Watson turut menyelitkan petikan daripada sarjana British-Australia, Sara Ahmed, yang berkata 'Solidariti tidak bermaksud perjuangan kita adalah perjuangan sama, atau kesakitan dirasai adalah sama atau harapan kita adalah demi masa depan sama.

"Solidariti membabitkan komitmen dan usaha, serta pengiktirafan walaupun kita tidak mempunyai perasaan yang sama, atau kehidupan yang sama, atau tubuh yang sama, tetapi kita hidup di tempat yang sama," tambah petikan itu.

Hantaran Watson mendapat pujian meluas daripada pengguna Instagram pro-Palestin, dengan beberapa orang mengucapkan terima kasih atas sokongannya dan menyiarkan emoji bendera Palestin di bahagian komen, kebanyakannya dengan hashtag #FreePalestine dan #PalestineWillBeFree.

Watson dilantik duta muhibah Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan peranan besarnya dalam dunia pementasan.

Utusan PBB Israel, Gilad Erdan, bagaimanapun mengkritik sekeras-kerasnya hantaran Watson, membidas kenyataan bintang itu di Twitter dengan berkata 'Fiksyen mungkin berlaku dalam Harry Potter, tetapi ia tidak berguna dalam dunia realiti'.

Kenyataan itu disokong Utusan PBB sebelumnya, Danny Danon, yang menuduh Watson sebagai anti-Yahudi.

Leah Greenberg, pengarah eksekutif bersama, kumpulan advokasi 'Indivisible Guide', menolak tuduhan Danon sambil menyatakan ia adalah demonstrasi sangat jelas yang mana alasan anti-Yahudi yang sinis dan jahat digunakan untuk menghalang asas solidariti dengan rakyat Palestin. – BERNAMA

Berita Harian X