Sabtu, 25 Disember 2021 | 3:22pm
FOTO AFP
FOTO AFP

AS bakal tamatkan sekatan perjalanan dari selatan Afrika

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menamatkan sekatan perjalanan terhadap beberapa negara di selatan Afrika, pada minggu depan.

Banyak negara mengenakan sekatan perjalanan terhadap pengembara dari benua terbabit selepas varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Afrika Selatan yang kemudian melaporkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November lalu.

Sebelum ini, WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan menolak pelaksanaan sekatan perjalanan itu, manakala pihak berkuasa di Afrika Selatan menyifatkan mereka 'dihukum' hanya kerana mengesan varian itu serta bersikap telus.

Penolong Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kevin Munoz dalam Twitter, semalam, bagaimanapun mempertahankan kewajaran langkah sekatan itu.

"Ia memberi masa untuk kita memahami Omicron dan mengetahui keberkesanan vaksin sedia ada, (terutama) dos penggalak terhadap varian itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan, sekatan itu akan ditarik balik pada 31 Disember ini.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Rumah Putih pula menjelaskan berikutan varian Omicron sudah wujud di AS dan seluruh dunia, pengembara antarabangsa dari lapan negara benua Afrika terbabit tidak lagi memberi impak besar terhadap penularan COVID-19 di AS.

"Ketika perjalanan digantung sementara, Presiden Joe Biden mengarahkan pengurangan tempoh ujian saringan pra-pelepasan kepada sehari berbanding tiga hari sebelum itu.

"Pengembara dari lapan negara berkenaan juga akan tertakluk kepada protokol sama yang ketat ini," katanya.

Lapan negara terbabit ialah Afrika Selatan, Botswana, Zimbabwe, Namibia, Lesotho, Eswatini, Mozambique dan Malawi. - AFP

Berita Harian X