Isnin, 20 September 2021 | 7:01am
 Jet tentera laut AS terhempas di kawasan kejiranan Texas berhampiran Fort Worth. - Foto ihsan Airlive.net
Jet tentera laut AS terhempas di kawasan kejiranan Texas berhampiran Fort Worth. - Foto ihsan Airlive.net

Jet tentera laut AS terhempas di kawasan kejiranan Texas

WASHINGTON: Dua juruterbang tentera Amerika Syarikat (AS) terselamat selepas jet latihan dipandu mereka terhempas di halaman belakang kediaman di kawasan kejiranan Texas berhampiran Fort Worth semalam, menurut pihak berkuasa.

Berikutan kejadian itu tiga rumah di pinggir bandar Lake Worth mengalami kerosakan.

Mangsa berjaya keluar dari pesawat sebelum pesawat tentera laut AS itu terhempas kira-kira satu blok dari sebuah sekolah menengah.

"Tidak ada penduduk yang cedera. Kedua-dua juruterbang dibawa ke hospital

"Kejadian ini mungkin jauh lebih buruk kerana pesawat jatuh di sebuah kawasan perumahan di Lake Worth," kata Ketua Bomba Lake Worth, Ryan Arthur kepada wartawan.

Pusat Kawalan Latihan Tentera Udara AS (CNATRA) menerusi Twitter, berkata pesawat latihan, T-45C Goshawk terhempas kira-kira tiga kilometer (km) dari pangkalan tentera Fort Worth.

"Juruterbang intruktor berada dalam keadaan stabil, manakala pelatih yang belum diketahui keadaannya masih hidup dan sedang menerima rawatan," menurut CNATRA.

Juruterbang melakukan penerbangan latihan rutin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Corpus Christi, kira-kira 643 km ke selatan.

Punca kemalangan tidak diketahui dan dalam siasatan, menurut CNATRA. - AFP

Berita Harian X