Ahad, 19 September 2021 | 9:47am
Kru Inspiration4, Jared Isaacman (kiri ke kanan), Hayley Arceneaux, Christopher Sembroski and Sian Proctor ketika mengelilingi orbit. - Foto AFP
Kru Inspiration4, Jared Isaacman (kiri ke kanan), Hayley Arceneaux, Christopher Sembroski and Sian Proctor ketika mengelilingi orbit. - Foto AFP

SpaceX bawa pelancong kelilingi orbit kembali ke bumi

WASHINGTON: SpaceX yang membawa empat pelancong mendarat di Lautan Atlantik pesisir pantai Florida semalam selepas tiga hari berlepas ke angkasa lepas, sekali gus menjadi misi berjaya dan bersejarah tanpa kehadiran angkasawan profesional.

Pelindung haba pada kapsul SpaceX Dragon membolehkannya tahan lasak ketika pendaratan, sebelum empat payung terjun besar dikeluarkan untuk menampung kapsul itu sebelum mendarat jam 7 malam (2300 GMT), menurut kemas kini video secara langsung oleh syarikat berkenaan.

Sebuah bot segera menghampiri SpaceX dan membukakan pintu bagi membolehkan angkasawan keluar. Mereka kemudian dipindahkan dengan helikopter ke Pusat Angkasa Kennedy, lokasi di mana mereka berlepas menaiki roket Falcon 9, Rabu lalu.

"Ia sangat penting bagi kami dan kami baru saja bermula," kata kapten jutawan, Jared Isaacman, yang membiayai misi terbabit.

Matlamat misi yang dikenali Inspiration4 bertujuan mendorong pendemokrasian ruang angkasa lepas dengan membuktikan kosmos dapat diakses oleh kru yang tidak dipilih atau dilatih selama bertahun-tahun.

Isaacman yang membayar puluhan juta dolar, menawarkan tiga tempat duduk kepada orang awam iaitu jururawat, Hayley Arceneaux, 29; bekas veteran Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), Chris Sembroski, 42 dan profesor, Sian Proctor, 51.

Kapsul Dragon bergerak lebih jauh dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada orbit pada ketinggian kira-kira 575 kilometer dan mengelilingi dunia lebih 15 kali setiap hari.

Pendaratan itu menandakan kali ketiga syarikat Elon Musk membawa manusia ke angkasa dan kembali, selepas dua misi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang masing-masing pada Ogos 2020 dan satu lagi pada Mei tahun ini.

Kedua-duanya membawa angkasawan kembali dari ISS. Tidak seperti angkasawan NASA, anggota misi Inspiration4 tidak pergi ke ISS tetapi berada di orbit mengelilingi bumi.

Ketika penerbangan, tanda vital anggota kru dipantau untuk mengkaji kesan persekitaran angkasa lepas. -AFP

Berita Harian X