Sabtu, 18 September 2021 | 5:16pm
Penunjuk perasaan di Amerika Syarikat membantah pembinaan hotel Hilton atas tapak masjid di Xinjiang, China. - Foto AFP
Penunjuk perasaan di Amerika Syarikat membantah pembinaan hotel Hilton atas tapak masjid di Xinjiang, China. - Foto AFP

Hilton bina hotel atas tapak runtuhan masjid di China

NEW YORK: Beberapa pertubuhan hak asasi manusia membabitkan kira-kira 40 umat Islam di Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen boikot rangkaian hotel Hilton Worldwide (Hilton).

Ia susulan rancangan pembinaan hotel di atas bekas tapak masjid milik etnik Uighur yang dirobohkan pihak berkuasa China di wilayah Xinjiang.

Jawatankuasa Hubungan AS-Islam (CAIR), berkata pihaknya sudah melakukan 'perundingan secara tidak langsung' dengan kumpulan hotel itu bagi mengemukakan rayuan supaya membatalkan cadangan terbabit.

Namun, bekas Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad, berkata cadangan itu langsung tidak dipedulikan, mendorong pertubuhan itu mengumumkan kempen boikot di seluruh dunia terhadap Hilton.

"Saya dan anda semua mempunyai kebebasan untuk memilih ke mana destinasi penginapan atau mengadakan mesyuarat perniagaan mahupun menganjurkan acara seperti majlis perkahwinan.

"Pihak kami menyedari cadangan projek ini sejak awal Jun lalu, gunakan kuasa anda untuk menghantar mesej jelas kepada Hilton," katanya pada sidang sidang media di hadapan ibu pejabat Hilton di Virginia, AS.

Ogos lalu, Suruhanjaya Kongres AS membantah pembabitan Hilton dalam pembinaan hotel di tapak masjid yang diruntuhkan oleh pihak berkuasa China di Xinjiang.

Tapak itu adalah lambang kepada kempen kerajaan China yang melakukan pemusnahan agama dianuti etnik Uighur dan kawasan kebudayaan serta wilayah yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai.

Berdasarkan kajian Institut Dasar Strategik Australia, 16,000 masjid di 900 lokasi di Xinjiang dirobohkan sepenuhnya atau sebahagian binaan antara 2017 hingga 2020.

Pihak berkuasa China bertindak merobohkan menara masjid dan pemusnahan itu dapat disaksikan menerusi gambar satelit sejak beberapa tahun lalu hingga sekarang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan sebanyak sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti lain ditempatkan dalam kem untuk dikerahkan bekerja di wilayah berkenaan.

China bagaimanapun menafikan kewujudan kem berkenaan dan memaklumkan ia adalah pusat vokasional yang dibina untuk membanteras keganasan. – AGENSI

Berita Harian X