Sabtu, 18 September 2021 | 10:32am
Ribuan pendatang kebanyakannya dari Haiti berkumpul di bawah Jambatan Antarabangsa Del Rio, Texas. FOTO AFP
Ribuan pendatang kebanyakannya dari Haiti berkumpul di bawah Jambatan Antarabangsa Del Rio, Texas. FOTO AFP

10,000 pendatang dikumpul bawah jambatan Texas

HOUSTAN: Lebih 10,000 pendatang tanpa dokumen, majoritinya dari Haiti ditahan di bawah Jambatan Antarabangsa Del Rio, Texas semalam.

Datuk Bandar Del Rio, Bruno Lozano berkata, pendatang terbabit berkumpul di bawah jambatan berkenaan sambil dikawal anggota Peronda Sempadan dan Kastam (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Katanya, seramai 10,503 orang bersesak di bawah jambatan yang terletak berhampiran sempadan Mexico sejak Khamis lalu.

"Kebanyakan pendatang dari Haiti ini berhasrat menetap di AS selepas negara mereka dilanda gempa bumi dan mengalami sengketa politik berpanjangan," katanya.

Rakaman video memaparkan pendatang berkumpul dan tidur di tempat terbuka sementara menunggu proses dokumentasi daripada CBP.

Lozano berkata, pegawai peronda sempadan kini sedang mengawasi kebanjiran pendatang di sektor Del Rio.

Katanya, kira-kira 3,000 pendatang ditahan pihak CBP di kawasan berkenaan.

Sementara itu, CBP berkata, pihaknya menghantar pegawai tambahan ke lokasi bagi membantu mengawal keadaan.

Katanya, majoriti pendatang akan dihantar pulang mengikut Perkara 42 dasar imigresen berikutan penularan pandemik COVID-19. - AFP

Berita Harian X