Sabtu, 18 September 2021 | 7:58am
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

Syor suntikan 'booster' kepada individu 65 tahun ke atas

WASHINGTON: Sekumpulan pakar perubatan Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan kerajaan meluluskan dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer kepada individu berusia 65 tahun ke atas serta mereka yang berisiko tinggi mengalami jangkitan COVID-19 yang teruk.

Bagaimanapun panel terbabit menolak cadangan awal dikemukakan Pfizer yang disokong pentadbiran Presiden AS, Joe Biden bagi memberikan suntikan dos penggalak kepada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

Keputusan terbabit dicapai selepas selesai mesyuarat yang membincangkan data dikemukakan Pentadbiran Makanan dan Ubatan-ubatan (FDA) AS.

Berdasarkan keputusan panel terbabit, puluhan juta penduduk AS layak untuk menerima dos ketiga tidak lama lagi.

Dekan Pusat Pengajian Perubatan Chicago, Archana Chatterjee berkata, keputusan itu menunjukkan mereka tidak dipengaruhi data dan maklumat daripada FDA semata-mata dalam membuat keputusan.

"Saya fikir keputusan ini menunjukkan kepada masyarakat yang kami bebas daripada FDA. Kami membentangkan dapatan kami dalam perbincangan itu," katanya.

Panel terbabit yang dianggotai pakar vaksin, penyelidik penyakit berjangkit dan ahli epidemiologi menyimpulkan keseimbangan di antara risiko dan kebaikan berbeza suntikan penggalak kepada golongan muda terutama lelaki yang berisiko mengalami miokarditis.

Percubaan klinikal dos penggalak diberikan kepada lebih 300 individu tetapi panel terbabit berpendapat jumlah individu itu terlalu sedikit untuk membuat kesimpulan mengenai tahap keselamatan dos berkenaan.

Seramai 16 ahli panel itu menentang pemberian dos ketiga sementara dua lagi menyokong cadangan itu.

Mereka kemudian mengusulkan cadangan baharu dan bersetuju suntikan dos penggalak untuk individu berusia lebih 65 tahun serta golongan terdedah persekitaran pekerjaan berisiko tinggi.

Susulan itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) akan bermesyuarat pada 22 dan 23 September ini bagi membincangkan lebih lanjut siapa yang layak menerima suntikan dos penggalak terbabit. - AFP

Berita Harian X