Jumaat, 17 September 2021 | 4:24pm
Boeing 737 MAX dibenarkan terbang semula akhir tahun lalu selepas perincian MCAS diubah. - Foto AFP
Boeing 737 MAX dibenarkan terbang semula akhir tahun lalu selepas perincian MCAS diubah. - Foto AFP

AS dakwa bekas juruterbang Boeing atas nahas 737 MAX

NEW YORK: Pihak pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mendakwa bekas juruterbang ujian Boeing yang disyaki sengaja melakukan kesilapan dalam mengawal selia penerbangan sehingga mengancam keselamatan, sekali gus mengakibatkan dua nahas 737 MAX.

The Wall Street Journal dalam laporannya menyatakan suspek, Mark Forkner ialah kontak utama antara syarikat penerbangan gergasi itu dengan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS yang melatih juruterbang mengendalikan pesawat.

Menurut dokumen yang disiarkan awal tahun lalu, Forkner menyembunyikan perincian mengenai kesalahan sistem pengendalian penerbangan pesawat yang dikenali sebagai Sistem Penambahan Corak Penerbangan (MCAS).

Pihak pengawal selia menyatakan,tindakan itu kemudiannya disyaki menjadi punca berlakunya kedua-dua nahas berkenaan.

Pesawat 737 MAX disahkan secara rasmi pada Mac 2017, namun terkandas di seluruh dunia selama 20 bulan rentetan dua nahas yang berlaku pada Oktober 2018 dan Mac 2019 yang mengorbankan 346 mangsa.

Namun, pesawat MAX dibenarkan beroperasi semula pada akhir tahun lalu selepas perincian MCAS diubah.

Boeing mengakui bertanggungjawab terhadap kesilapan pengawal selianya, sekali gus bersetuju membayar lebih AS$2.5 bilion (RM10 bilion) bagi penyelesaian tuntutan.

Sehingga kini, Jabatan Keadilan AS dan peguam Forkner tidak memberi maklum balas ketika diminta mengulas.

The Wall Street Journal bagaimanapun tidak pasti jenis tuduhan yang Forkner bakal berdepan di muka pengadilan kelak. - AFP

Berita Harian X