Jumaat, 21 Mei 2021 | 12:40pm
Pakar forensik dan anggota Jabatan Peguam Negara El Salvador meninjau perkarangan rumah seorang bekas anggota polis yang juga ketua penjenayah, Hugo Ernesto Osorio, di mana sekurang-kurangnya 14 mayat ditemui ditanam. - Foto AFP
Pakar forensik dan anggota Jabatan Peguam Negara El Salvador meninjau perkarangan rumah seorang bekas anggota polis yang juga ketua penjenayah, Hugo Ernesto Osorio, di mana sekurang-kurangnya 14 mayat ditemui ditanam. - Foto AFP

14 mayat ditanam di rumah bekas polis El Salvador

CHALCHUAPA: Pakar forensik semalam mengeluarkan sekurang-kurangnya 14 mayat yang dibunuh dan ditanam di kediaman seorang bekas pegawai polis di barat El Salvador barat.

Menteri Keadilan dan Keselamatan, Gustavo Villatoro, berkata kesemua mayat ditanam secara berasingan di kediaman Hugo Ernesto Osorio Chavez, yang juga ketua kumpulan penjenayah.

Bekas pegawai polis itu ditahan pada 8 Mei lalu kerana disyaki sebagai suspek utama kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya, selepas jiran melaporkan kepada pihak berkuasa.

Hasil siasatan itu membawa kepada penemuan mayat di rumahnya.

Villatoro berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) turut diambil daripada penduduk sekitarnya yang melaporkan kehilangan keluarga terdekat dan berkemungkinan menjadi mangsa kes pembunuhan berkenaan.

Rumah penjenayah itu, yang berdepan dengan ladang tebu, dikepung oleh polis bagi mengelakkan wartawan memasuki kawasan berkenaan.

Pakar jenayah forensik, Israel Ticas, memberitahu AFP proses menggali di sekitar kawasan kediaman suspek akan diteruskan di bahagian lain rumah berkenaan dan menganggarkan tugas itu mungkin mengambil masa lebih sebulan.

Rabu lalu, hakim tempatan mengarahkan 11 individu ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan jenayah dilakukan Osorio Chavez.

Pada tahun lalu, 1,322 kes bunuh diri direkodkan di El Salvador iaitu secara purata, 20 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Menurut laporan rasmi, angka itu jauh lebih rendah berbanding 2019 dan terendah dicatatkan sejak berakhirnya perang saudara di negara itu pada 1992.- AFP

Berita Harian X