Khamis, 8 April 2021 | 9:56am
Gambar menunjukkan Ketua Eksekutif Perubatan Michigan, Joneigh Khaldun, memberi taklimat secara maya mengenai peningkatan ketara kos COVID-19 di negeri itu. - Foto AFP
Gambar menunjukkan Ketua Eksekutif Perubatan Michigan, Joneigh Khaldun, memberi taklimat secara maya mengenai peningkatan ketara kos COVID-19 di negeri itu. - Foto AFP

Amaran peningkatan ketara kes COVID-19 di Michigan

WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 di Michigan, Amerika Syarikat (AS) walaupun kempen vaksinasi dipergiatkan.

Ketua Eksekutif Perubatan Negeri, Joneigh Khaldun, turut memberi amaran di Twitter mengenai peningkatan ketara kes coronavirus itu.

"Rawatan di hospital kami juga meningkat, penduduk Michigan perlu mengambil langkah berlipat ganda untuk membantu menghentikan penyebaran virus ini," katanya.

Michigan dilihat mencatatkan jangkitan COVID-19 yang banyak dalam kalangan penduduknya berbanding negeri AS yang lain dan beberapa pakar mengaitkan kenaikan itu dengan percutian musim bunga.

Pengarah Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS, Rochelle Walensky, berkata kakitangannya bekerjasama rapat dengan Michigan dan pegawai kesihatannya.

"Kami mempunyai pasukan CDC di lapangan yang berusaha untuk menilai wabak di pusat tahanan.

"Kami berusaha meningkatkan kemudahan ujian di lapangan terutama dalam kalangan remaja berikutan peningkatan kegiatan sukan sekarang," katanya.

Tambah beliau, CDC juga berusaha untuk memahami apa yang sedang berlaku dengan varian baharu COVID-19.

Walaupun melakukan lebih daripada tiga juta vaksinasi sehari di seluruh negara, jumlah kes baru kembali meningkat lagi di AS dengan purata kira-kira 63,000 kes baharu sehari dalam tempoh seminggu yang lalu.

Sementara jangkitan meningkat, jumlah kematian pula menurun hasil daripada peningkatan vaksinasi kepada golongan berisiko. - AFP

Berita Harian X