Jumaat, 22 Januari 2021 | 3:08pm
Pesakit menunggu mendapat rawatan di Hospital Umum Hilda Freire di Iranduba, negeri Amazonas. - Foto AFP
Pesakit menunggu mendapat rawatan di Hospital Umum Hilda Freire di Iranduba, negeri Amazonas. - Foto AFP

Brazil tunggu 2 juta dos vaksin India

BRASILIA: Kerajaan Brazil memaklumkan, penghantaran dua juta dos vaksin COVID-19 AstraZeneca-Oxford, dijangka tiba ke negara itu dari India, sekali gus menjadi lonjakan kepada program vaksinasi Brazil.

"Dua juta dos vaksin AstraZeneca dijangka tiba ke Brazil pada lewat tengah hari Jumaat," kata Kementerian Kesihatan Brazil dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sebelum ini, vaksin itu dijangka tiba ke Brazil minggu lalu.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, menyalahkan 'tekanan politik' pada kerajaan India pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi untuk mengutamakan vaksin di negara sendiri, sebagai punca kelewatan itu.

Brazil negara kedua paling teruk di dunia dilanda coronavirus selepas Amerika Syarikat (AS), dengan merekodkan lebih 214,000 kematian dalam kalangan 212 juta penduduk negara itu.

Kerajaan Brazil bergantung pada vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal British-Swedish, AstraZeneca yang bekerjasama dengan Universiti Oxford dan Yayasan Fiocruz, di bawah Kementerian Kesihatan Brazil untuk melancarkan gerakan vaksinasi negara itu.

Namun, Brazil terpaksa menggunakan enam juta dos vaksin CoronaVac minggu lalu, yang dibangunkan makmal China, Sinovac bersama Institut Butantan Brazil di Sao Paulo.

Suntikan vaksin itu dihebahkan oleh gabenor Sao Paulo, Joao Doria, yang dilihat sebagai pesaing Jair Bolsonaro dalam pemilihan Presiden, pada tahun depan.

Kedua-dua vaksin AstraZeneca dan CoronaVac memerlukan dua suntikan berselang beberapa minggu.

Berita Harian X