Rabu, 13 Januari 2021 | 4:47pm
Lisa Montgomery - FOTO EPA
Lisa Montgomery - FOTO EPA

Wanita bunuh mangsa hamil untuk curi kandungan, jalani hukuman mati

WASHINGTON: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) yang membunuh seorang perempuan hamil untuk mencuri bayi dalam kandungan mangsa, menjalani hukuman mati secara suntikan maut, hari ini.

Lisa Montgomery, 52, muncul wanita pertama menjalani hukuman mati yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Persekutuan AS dalam tempoh hampir tujuh dekad.

Menurut Jabatan Keadilan AS, Montgomery disahkan mati pada jam 1.31 pagi di sebuah penjara di Terre Haute, Indiana.

Katanya, pelaksanaan itu adalah 'selaras hukuman dicadangkan sebulat suara oleh juri Persekutuan dan dijatuhkan oleh Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Barat Missouri'.

Mahkamah Agung AS memberi kebenaran untuk hukuman itu dijalankan, beberapa jam sebelum pelaksanaannya - meskipun wujud keraguan mengenai status mental Montgomery - susulan permohonan dikemukakan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Peguam bela yang mewakili Montgomery, tidak menafikan keseriusan jenayah dilakukan tertuduh, iaitu membunuh seorang wanita hamil berusia 23 tahun pada 2004 untuk mencuri bayi dalam kandungan mangsa.

Namun peguam bela tertuduh, Kelley Henry, menyifatkan keputusan pelaksanaan hukuman itu - yang pertama bagi banduan wanita sejak 1953 - sebagai 'kejam, menyalahi undang-undang serta penggunaan kuasa autoritarian secara tidak wajar.'

"Semua yang terbabit dalam pelaksanaan hukuman mati Lisa Montgomery harus berasa malu," katanya dalam satu kenyataan.

Montgomery yang tidak berupaya mengandung, dituduh mengenal pasti mangsanya secara dalam talian, Bobbie Jo Stinnett yang juga seorang penternak anjing.

Tertuduh didakwa berpura-pura mahu membeli seekor anak anjing sebelum pergi ke rumah Stinnett lalu menjerutnya dan mengeluarkan bayi dalam kandungan mangsa.

Pada 2007, mahkamah memutuskan bahawa Montgomery bersalah atas pertuduhan menculik yang mengakibatkan kematian, sekali gus menjatuhkan hukuman mati.

Bagaimanapun, peguam belanya percaya bahawa tertuduh menderitai masalah kesihatan mental yang teruk akibat penderaan dialami ketika kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X