Rabu, 23 Disember 2020 | 10:52am
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AFP

Trump lantik beberapa pembantu utamanya ketuai institusi awam

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melantik beberapa pembantu kanannya mengetuai institusi awam negara itu.

Walaupun beliau masih enggan menerima kekalahan kepada pencabarnya, Joe Biden, tindakan terbaru beliau itu ditafsirkan sebagai persediaan bagi perubahan pentadbiran kerajaan.

Trump, yang akan menyerahkan jawatan kepada Biden 20 Januari ini, melantik bekas duta besar AS ke Jerman, Richard Grenell, juga penyokong tegar beliau, sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah Memorial Holocaust di Washington DC.

Penasihat rapat bekas presiden AS itu, Hope Hicks, yang pernah bekerja dalam Pertubuhan Trump sebelum menyertai kempen presiden pada 2015 ketika berumur 26 tahun, akan menyandang jawatan Lembaga Pengarah Biasiswa Fulbright.

Institusi itu menyediakan program biasiswa berprestij untuk pelajar asing di AS dan pelajar AS di luar negara.

Selain itu, bekas jurucakap Rumah Putih, Stephanie Grisham, akan menyertai Majlis Kebangsaan untuk Pendidikan Sains sebagai anggota lembaga penasihat.

Menurut kenyataan akhbar yang mengumumkan lebih 40 pencalonan, Trump turut melantik 'orang kanannya' Pam Bondi, sebagai Pengarah Dewan Pusat Seni John F Kennedy di Washington.

Bekas Peguam Negara Florida itu pernah menyertai pasukan undang-undang membela Trump semasa perbicaraan pendakwaan di Senat dan baru-baru ini, dalam usul membatalkan kemenangan Biden sebagai presiden.

Meskipun hampir semua usaha perundangannya gagal, keputusan di setiap negeri dan pengesahan sudah dibuat oleh Kolej Elektoral, Trump masih meneruskan dakwaan bahawa beliau memenangi undian pada November lalu.

Spekulasi sudah tersebar luas mengenai langkah selanjutnya dalam usaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya walaupun kebanyakan pemerhati berpendapat cubaan itu akan gagal.

Bagaimanapun, belum jelas sama ada Trump akan menghadiri majlis pelantikan Biden sebagai presiden pada 20 Januari, tetapi beliau menegaskan akan meninggalkan Rumah Putih apabila penggalnya berakhir. - AFP

Berita Harian X