Sabtu, 12 Disember 2020 | 10:26am
Brazil terus mencatatkan angka kematian tinggi akibat COVID-19. FOTO AFP
Brazil terus mencatatkan angka kematian tinggi akibat COVID-19. FOTO AFP

Brazil catat lebih 180,000 kematian COVID-19

RIO DE JANEIRO: Jumlah kematian akibat COVID-19 di Brazil melepasi angka 180,000 semalam, dengan pakar memberi amaran negara itu dilanda gelombang kedua jangkitan ketika Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menegaskan krisis menghampiri penghujung.

Kementerian Kesihatan Brazil melaporkan 672 kematian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 180,437 sejak pandemik bermula, meletakkan negara Amerika Selatan itu kedua melepasi 180,000 kematian selepas Amerika Syarikat (AS).

Lengkung jangkitan dan kematian di Brazil kini jelas menunjukkan trend peningkatan, selepas ia mencatat penurunan antara akhir Ogos sehingga awal bulan lalu.

Bolsonaro dikritik pembangkang minggu ini susulan kenyataannya yang meremehkan krisis kesihatan berkenaan, apabila mendakwa 'Brazil kini dipenghujung pandemik' dan 'kerajaan Brazil antara terbaik di dunia dalam menguruskannya'.

Bagaimanapun, pakar kesihatan tidak bersetuju dengan dakwaannya.

"Presiden salah. Saya tidak tahu daripada mana pandangan itu datang, namun tiada sebarang petanda membuktikan penghujung pandemik semakin hampir," kata penyelidik Fiocruz, Christovam Barcellos.

Ketika ini, jangkitan harian di Brazil kembali meningkat dan melepasi 54,000 kes pada Jumaat lalu, menjadikan keseluruhan 6.8 juta sejak pandemik itu bermula.

Barcellos memberi amaran, situasi itu berkemungkinan menjadi lebih buruk menjelang musim cuti dan musim panas di hemisfera selatan.

"Lebih ramai orang akan bergerak, memandangkan langkah kawalan dan dasar penjarakan fizikal Brazil sudah dibatalkan," katanya.

Bolsonaro kerap bercanggah dengan pandangan pakar mengenai tindak balas terhadap pandemik itu sejak sebelum ia mula dikesan di Brazil, dengan kes pertama direkodkan pada 26 Februari lalu.

Beliau meremehkan coronavirus baharu itu sebagai 'selsema kecil', menempelak kebimbangan terhadap wabak itu dan menggesa penggunaan hydroxychloroquine bagi menentang COVID-19, walaupun sejumlah besar kajian menunjukkan ia tidak berkesan. - AFP

Berita Harian X