Ahad, 6 Disember 2020 | 7:10am
Kawasan perlombongan emas di La Esperanza yang dilaporkan lebih 10 pelombong tertimbus. FOTO AFP
Kawasan perlombongan emas di La Esperanza yang dilaporkan lebih 10 pelombong tertimbus. FOTO AFP

Lombong emas runtuh, dua mayat ditemui

MANAGUA: Pasukan penyelamat menemui dua mayat lelaki di bawah runtuhan tanah di perlombongan emas haram dekat selatan Nicaragua, hari ini.

Kejadian berlaku di wilayah La Esperanza, lebih 200 kilometer (km) ke tenggara bandar ini.

Mangsa dikenali sebagai Israel Epsperanza Sequiera dan Santos Herrera, dari Rio San Juan, kata pegawai rasmi kerajaan, Johnny Gutierres kepada laman rasmi 19 Digital.

Beliau berkata, kerja menyelamat dilakukan pasukan polis, bomba dan tentera tanpa menyebut nasib menimpa pelombong lain yang turut tertimbus.

Media tempatan melaporkan antara tujuh hingga 18 pelombong dipercayai tertimbus selepas hujan lebat menyebabkan lereng bukit runtuh.

Pengarah Fundacion del Rio, Amaru Ruiz berkata, pelombong mengorek terowong di lereng bukit sejak bertahun lalu di tanah persendirian.

Dianggarkan kira-kira 3,000 orang bekerja di lombong haram di sekitar Nicaragua.

"Hujan lebat sepanjang bulan ini termasuk kemunculan taufan Eta dan Iota melemahkan dan melembutkan tanah," katanya.

Tanah runtuh akibat taufan dan hujan lebat di negara itu mengorbankan tujuh orang bulan lalu. - AFP

Berita Harian X