Khamis, 29 Oktober 2020 | 9:33pm
Pegawai Suruhanjaya Pencarian Nasional Mexico (CNB) memeriksa lokasi kubur tersembunyi di Guanajuato, Mexico di mana 59 mayat ditemui. - Foto EPA
Pegawai Suruhanjaya Pencarian Nasional Mexico (CNB) memeriksa lokasi kubur tersembunyi di Guanajuato, Mexico di mana 59 mayat ditemui. - Foto EPA

59 mayat ditemui di kubur tersembunyi di Mexico

CELAYA: Sekurang-kurangnya 59 mayat ditemui di kubur tersembunyi di Guanajuato, wilayah tengah Mexico, semalam.

Ketua Suruhanjaya Pencarian Nasional Mexico (CNB), Karla Quintana berkata sebilangan besar mayat masih mengandungi tisu dan tanda lain, menunjukkan mangsa yang masih muda dan remaja.

"Sementara menunggu pengesahan daripada pakar, antara 10 dan 15 mangsa adalah wanita," katanya.

Menurut Quintana, kuburan itu ditemui di kawasan Barrio de San Juan di Bandar Salvatierra, di bahagian selatan negara itu.

Beliau berkata, pihak berkuasa diberitahu mengenai kemungkinan lokasi kubur itu dua minggu lalu, dan agensi keselamatan negeri dan persekutuan bekerjasama selama lapan hari terakhir.

"Kami mempunyai lebih banyak kemungkinan positif, oleh itu kami akan terus berusaha," katanya.

Pesuruhjaya Negeri Hector Diaz berkata lebih 80 anggota pasukan melakukan pemeriksaan di kawasan itu melalui syif 18 jam sehari dan 52 penggalian yang membawa kepada penemuan mayat,

Guanajuato dikejutkan dengan peningkatan keganasan yang dikaitkan dengan pergolakan antara kartel saingan kuat Jalisco New Generation dan Santa Rosa de Lima.

Pada hari sama, mayat enam lelaki dan dua wanita ditemui di Ciudad Juarez, bersempadan Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan polis, tangan dan kaki mereka diikat dengan kesa luka yang dihasilkan melalui peluru senjata api kaliber besar di kepala dan toraks serta kesan keganasan di pelbagai bahagian badan. - AFP

Berita Harian X