Ahad, 11 Oktober 2020 | 10:06am
Orang ramai di Taman Awam Retiro, Madrid, Sepanyol, memakai pelitup muka sebagai langkah keselamatan. Jumlah kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah angka 37 juta kes. - Foto AFP
Orang ramai di Taman Awam Retiro, Madrid, Sepanyol, memakai pelitup muka sebagai langkah keselamatan. Jumlah kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah angka 37 juta kes. - Foto AFP

COVID-19: Kes positif global cecah 37 juta

WASHINGTON: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah angka 37 juta kes, dengan ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.7 juta kes jangkitan, diikuti India dengan 6.97 juta kes, manakala Brazil merekodkan lima juta kes.

Jangkitan COVID-19 di Russia pula melepasi angka 1.27 juta kes.

Sementara itu, negara Colombia, Sepanyol, Argentina dan Peru melepasi angka setengah juta kes.

Negara lain yang turut merekodkan 500,000 kes ialah Mexico, Perancis, Afrika Selatan dan United Kingdom.

Antara negara yang mencatatkan jumlah kes positif dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes jangkitan COVID-19 ialah Iran, Chile, Iraq, Bangladesh, Itali, Arab Saudi.

Beberapa negara yang melepasi angka 100,000 hingga 200,000 kes termasuk Kanada, Belanda, Romania, Maghribi, Ecuador, dan Belgium. -

Sementara itu, statistik daripada universiti itu juga menunjukkan jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 sudah melebihi 1.07 juta kes, dengan AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 214,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan 150,000 kes manakala India dan Mexico masing-masing merekodkan lebih 107,000 dan 83,000 kes kematian.

United Kingdom (UK) pula mencatatkan 42,000 kes kematian, diikuti Itali, Peru, Sepanyol dan Perancis pula berkongsi angka korban melebihi 30,000 kes.

Negara yang melebihi angka 20,000 kes korban adalah Iran, Colombia, Argentina dan Rusia. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X