Ahad, 20 September 2020 | 1:26pm
Trump menyetujui perjanjian yang membenarkan syarikat gergasi Lembah Silikon, Oracle, menjadi rakan kongsi data bagi TikTok. - Foto AFP
Trump menyetujui perjanjian yang membenarkan syarikat gergasi Lembah Silikon, Oracle, menjadi rakan kongsi data bagi TikTok. - Foto AFP

Perjanjian TikTok dengan Walmart, Oracle menakjubkan - Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyetujui perjanjian yang membenarkan syarikat gergasi Lembah Silikon, Oracle, menjadi rakan kongsi data bagi TikTok.

Ia secara langsung mengelakkan penutupan aplikasi video popular milik China, yang sebelum ini dikatakan Washington mengancam keselamatan AS.

Perjanjian itu diumumkan kedua-dua belah pihak termasuk Walmart sebagai rakan niaga komersial dengan mewujudkan syarikat AS baharu yang membuka kira-kira 25,000 peluang pekerjaan.

"Saya rasa perjanjian ini akan menjadi perjanjian menakjubkan. Saya menyetujuinya dan jika mereka menyelesaikannya, bagus, jika tidak, saya juga okay," kata Trump.

Tidak lama selepas itu, TikTok yang dimiliki ByteDance China, mengesahkan perjanjian terbabit, sebelum tarikh akhir hari ini, bermula mana pentadbiran Trump melarang muat turun aplikasi itu.

Jurucakap TikTok memberitahu AFP bahawa pihaknya mengalu-alukan cadangan TikTok, Oracle dan Walmart untuk menyelesaikan kebimbangan keselamatan Pentadbiran AS dan persoalan mengenai masa depan TikTok di AS.

ByteDance juga mengesahkan perjanjian itu di media sosial, mengatakan ketiga-tiga syarikat itu akan mencapai kesepakatan yang sesuai dengan undang-undang AS dan China secepat mungkin.

Sekiranya ia membuahkan hasil, perjanjian itu dijangkakan mengurangkan ketegangan perlumbaan teknologi antara Washington dan Beijing.

Ia juga memungkinkan rakyat AS dapat terus menggunakan aplikasi popular itu susulan Jabatan Perdagangan AS sudah mengumumkan penangguhan larangan memuat turun TikTok hingga 27 September.

Jumaat lalu, di bawah perintah AS terhadap aplikasi China, WeChat milik Tencent dan TikTok dilarang beroperasi di AS selepas hari ini.

Namun, susulan pengumuman perjanjian TikTok-Oracle-Walmart, tarikh berkenaan ditunda kepada 27 September ini.

Trump pula berkata, isu keselamatan dijamin 100 peratus berikutan kesemua syarikat menggunakan pelayan awam (cloud) berasingan.

Tambah beliau, perjanjian terbabit akan membawa kepada penubuhan syarikat baharu yang beribu pejabat di Texas, tanpa kaitan dengan China tetapi tetap dikenali sebagai TikTok.

"Syarikat-syarikat terbabit akan memberikan sumbangan AS$5 bilion (RM20.5 bilion) bagi tujuan pendidikan belia AS," katanya.

Terdahulu, beliau menegaskan bahawa kerajaan persekutuan berhak membatalkan perjanjian berikutan ia dibenarkan berbuat demikian. - AFP

Berita Harian X