Rabu, 16 September 2020 | 8:25am
(Gambar fail) Logo TikTok di kawasan bangunan pejabat di Los Angeles. - FOTO AFP
(Gambar fail) Logo TikTok di kawasan bangunan pejabat di Los Angeles. - FOTO AFP

TikTok: Oracle 'amat hampir' meterai perjanjian - Trump

WASHINGTON: Gergasi teknologi di Lembah Silikon, Oracle, kini 'amat hampir' memeterai perjanjian untuk menjadi rakan Amerika Syarikat (AS) kepada TikTok, kata Presiden Donald Trump, semalam.

Beliau memaklumkan, ia sekali gus dapat mengelakkan aplikasi video milik China itu daripada disekat di AS.

Kenyataan Trump menyusul sehari selepas pihak berkuasa AS mengesahkan Oracle bersedia membuat perjanjian dengan pemilik TikTok, ByteDance, menjelang tarikh akhir ditetapkan Presiden AS itu yang menyifatkan aplikasi berkenaan sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.

"Saya dengar mereka sudah amat hampir kepada perjanjian.

"Kami akan membuat keputusan dalam masa terdekat, sama ada meluluskan usaha sama itu yang menjadikan Oracle penyedia teknologi dipercayai untuk TikTok," katanya kepada wartawan.

Begitupun, butiran terperinci mengenai perjanjian itu masih tidak jelas.

Namun, Financial Times melaporkan, ByteDance bakal menempatkan perniagaan global TikTok di sebuah syarikat baharu yang beribu pejabat di AS dengan Oracle melabur sebagai pemegang saham minoriti bersama pelabur AS yang lain. - AFP

Berita Harian X