Jumaat, 11 September 2020 | 9:16pm
- Gambar hiasan. - Foto AFP
- Gambar hiasan. - Foto AFP

Penggodam Russia, China dan Iran sasar undian di AS - Microsoft

WASHINGTON: Microsoft semalam mengesahkan pihaknya menggagalkan serangan siber dari China, Russia dan Iran terhadap kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) menyasarkan calon Republikan serta Demokratik.

Ketika ini, beberapa syarikat gergasi teknologi sedang bertungkus lumus untuk melindungi keselamatan pemilihan presiden AS yang akan diadakan 3 November ini.

Pengumuman itu dibuat selepas Twitter berkata pihaknya akan melaksanakan dasar menghapuskan maklumat palsu atau tidak tepat yang bertujuan menjejaskan keyakinan orang awam terhadap pemilihan presiden itu.

Dasar itu termasuk memadamkan tuntutan kemenangan yang belum disahkan dan Google menegaskan ia akan mengambil langkah untuk memastikan fungsi carian 'lengkapan automatik' tidak memberikan cadangan tidak tepat.

Naib Presiden Korporat Microsoft, Tom Burt, berkata penggodam menyasarkan kakitangan kempen Presiden AS, Donald Trump dan saingannya dari parti Demokrat, Joe Biden.

"Dalam tempoh beberapa minggu ini, Microsoft mengesan serangan siber yang menyasarkan individu dan pertubuhan membabitkan pemilihan presiden akan datang.

"Secara jelas, kumpulan asing ini meningkatkan usaha mereka dengan menyasarkan pilihan raya 2020 seperti mana dijangkakan," katanya.

Menurut Microsoft, penggodam menyasarkan koperasi politik, badan pemikir, perunding dan parti politik termasuk di Eropah.

Tambah Burt, kumpulan berpusat di Russia dikenali sebagai Strontium, dikenal pasti menyerang lebih 200 pertubuhan manakala kumpulan lain berpusat di China, Zirconium, 'menyerang' individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan pemilihan.

Sementara itu, Microsoft berkata kumpulan berpangkalan di Iran dikenali sebagai Phosphorus, menyasarkan akaun peribadi individu dikaitkan dengan kempen Trump.

Burt berkata majoriti serangan itu berjaya dihentikan oleh jaringan keselamatan Microsoft dan mereka yang disasarkan atau terjejas sudah diberikan amaran.

Menurut analisis Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Russia kini sedang berusaha merosakkan kepercayaan pengundi terhadap sistem pemilihan AS khususnya melalui undian pos.

Pusat Risikan dan Keselamatan Kebangsaan, dalam satu kenyataan Ogos lalu, berkata Russia sedang giat berusaha menentang pencalonan Biden, sekali gus memihak kepada Trump, seperti yang dilakukan pada 2016.

Pemangku Setiausaha Negara AS, Chad Wolf, berkata pengumuman Microsoft itu mengesahkan amaran DHS bahawa China, Iran dan Russia sedang mencuba melemahkan sistem demokrasi dan mempengaruhi pemilihan presiden AS.

China bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh Microsoft sengaja mencipta masalah dan memalsukan fakta dengan membangkitkan pertuduhan itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, menegaskan pilihan raya Presiden AS ialah hal ehwal dalaman negara itu dan pihak mereka tidak berminat untuk campur tangan.

"Kami tidak berminat untuk campur tangan dan kami tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal negara itu," katanya.

Twitter menguatkuasa dasar baharu 17 September ini, melarang maklumat palsu dan mengelirukan mengenai pengundian selain dakwaan yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap proses pengundian itu sendiri.

Antara lain, termasuk penipuan ketika pemilihan dan memalsukan kertas undi serta perakuan keputusan pemilihan. - AFP

Berita Harian X