Jumaat, 11 September 2020 | 4:49pm
Gambar fail - FOTO AFP
Gambar fail - FOTO AFP

Microsoft gagalkan serangan siber sasar kempen pilihan raya AS

WASHINGTON: Microsoft semalam memaklumkan, pihaknya telah menggagalkan serangan siber dari China, Russia serta Iran yang menyasarkan kempen pilihan raya kedua-dua parti Republikan dan Demokrat.

Menurut Microsoft, penyerang siber terbabit menyasarkan kakitangan kempen Presiden Donald Trump dan pesaingnya dari Demokrat, Joe Biden.

"Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Microsoft berjaya mengesan serangan siber yang menyasarkan individu dan organisasi terbabit dalam pilihan raya Presiden yang akan datang

"Kumpulan asing jelas meningkatkan usaha mereka menyasarkan pilihan raya 2020 sebagaimana dijangkakan," kata Naib Presiden Korporat Microsoft, Tom Burt.

Menurut Microsoft, penyerang siber turut menyasarkan operasi politik, kumpulan pemikir, perunding dan parti politik di Eropah.

Burt memaklumkan, Microsoft mengenal pasti sebuah kumpulan berpangkalan di Russia dikenali sebagai Strontium yang telah menyerang lebih 200 organisasi.

Beliau berkata, Zirconium berpangkalan di China turut dikenal pasti menyerang individu berprofil tinggi yang berkait dengan pilihan raya itu, termasuk pihak berkaitan kempen Biden serta pemimpin penting dalam masyarakat antarabangsa.

Menurut Microsoft lagi, kumpulan berpangkalan di Iran dikenali sebagai Phosphorus pula menyasarkan akaun peribadi individu yang berkait dengan kempen Trump.

Burt berkata, sebahagian besar serangan itu berjaya dihentikan oleh peralatan keselamatan Microsoft, manakala pihak yang menjadi sasaran telah dimaklumkan. - AFP

Berita Harian X