Jumaat, 21 Ogos 2020 | 10:01am
 Bekas pakar strategi dan penasihat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Steve Bannon didakwa terbabit dalam penipuan dana ratusan ribu dolar. - Foto AFP
Bekas pakar strategi dan penasihat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Steve Bannon didakwa terbabit dalam penipuan dana ratusan ribu dolar. - Foto AFP

Bekas 'orang kanan' Trump ditahan, terbabit kes tipu dana

NEW YORK: Bekas pakar strategi terkemuka Donald Trump, Steve Bannon ditahan dan dituduh bersama tiga individu lain kerana didapati terbabit dalam penipuan dana bernilai ratusan ribu dolar menerusi kempen di sempadan Mexico.

Pasukan pendakwaan bagi kes yang ternyata memberi tamparan hebat kepada penyandang jawatan presiden daripada Republikan itu berkata, kempen pendanaan awam secara dalam talian dikenali sebagai 'We Build the Wall' berkenaan berjaya mengumpulkan lebih AS$25 juta (RM104.46 juta).

Wang itu kemudian dimasukkan ke 'poket' peribadi, meskipun pihak pembelaan menjelaskan bahawa dana terbabit dijanjikan untuk tujuan pembinaan tembok di sempadan Mexico.

Penahanan Bannon adalah antara siri penyiasatan jenayah berprofil tinggi membabitkan pasukan dalaman Trump yang tercetus, beberapa bulan sebelum proses pilihan raya presiden berlangsung November ini.

Sebaik pertuduhan dibacakan, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dilihat menjauhkan diri daripada terpalit dengan kes berkenaan sambil berkata: "Tidak tahu menahu langsung pasal projek itu.

"Saya fikir ia sesuatu yang menyedihkan untuk Encik Bannon. Saya rasa ia mengejutkan," katanya sambil mengakui terkesan dengan kes terbabit, namun menjelaskan bahawa sudah lama tidak berurusan dengan pakar strategi berkenaan.

Pendakwa persekutuan Manhattan berkata Bannon, pengasas organisasi, Brian Kolfage, dan dua individu lain, iaitu peneroka modal, Andrew Badolato dan Timothy Shea "menerima dana ratusan ribu dolar daripada kempen We Build the Wall, yang mana penggunaan peruntukan ini bercanggah dengan representasi organisasi awam".

Inisiatif itu pada mulanya digerakkan pada 2018 sebagai kempen GoFundMe untuk mengumpulkan wang yang didakwa penganjur bakal digunakan bagi membina tembok seperti dijanjikan Trump ketika kempen 2016 dan ia dirintis oleh Bannon.

Seminggu selepas pelancaran kempen, laman pendanaan awam mula mengundang syak apabila pungutan dalam talian menjangkau jumlah AS$17 juta (RM71.03 juta) sehingga memaksa keseluruhan kempen dihentikan untuk sementara waktu.

GoFundMe berkata penganjur sewajarnya mengemukakan perincian mengenai penggunaan dana berkenaan secara sah dan tiada keuntungan, atau ia akan dikembalikan.

Berdasarkan dokumen keterangan kes mahkamah, keempat-empat individu berkenaan kemudian mula menggunakan pertubuhan kendalian Bannon dan syarikat diterajui Shea, selain perjanjian vendor serta invois palsu, untuk mengaburi jejak mereka.

Pendakwa berkata tertuduh berulang kali memberi jaminan palsu kepada pemberi dana dengan menjanjikan bahawa semua wang yang disalurkan akan hanya digunakan sepenuhnya untuk membina tembok berkenaan, bukan dimasukkan ke 'kantung peribadi' sesiapa.

Kolfage, 38, yang bekerja di Florida, turut dikatakan pernah menggesa pemberi dana untuk membeli kopi keluaran syarikat lain dikendalikannya, semata-mata atas dasar kononnya ia demi memastikan ahli keluarganya tidak kebuluran dan mereka mempunyai tempat berteduh.

Bannon, 66, pula menggelar dirinya kepada masyarakat umum sebagai 'sukarelawan' dalam operasi penganjuran kempen di sempadan Mexico berkenaan.

Mengikut pertuduhan, segelintir pemberi dana secara peribadi menyatakan kepada Kolfage bahawa mereka kekurangan peruntukan dan meragui pendanaan awam yang diadakan secara dalam talian itu.

Bagaimanapun, mereka masih menyalurkan peruntukan bagi menjayakan kempen berkenaan kerana menaruh kepercayaan terhadap Kolfage, dengan berharap setiap janji berhubung tujuan pengumpulan peruntukan berkenaan bakal dipenuhi.

Kolfage kemudian berulang kali memberi jaminan bahawa wang yang disalurkan berada dalam keadaan selamat, namun pendakwaan menjelaskan veteran tentera udara AS itu mengambil lebih AS$350,000 (RM1,462,475) untuk kegunaan peribadi seperti membeli bot, kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, kereta golf, pembedahan kosmetik dan menjelaskan hutang kad kredit. Badolato, Shea and Bannon, masing-masing menerima ratusan ribu dolar yang akhirnya dibelanjakan untuk pelbagai tujuan, termasuk percutian, hotel dan pembelian barangan keperluan.

Secara khusus, Bannon menerima dana lebih AS$1 juta (RM4.18 juta) yang diselewengkan ke pertubuhan kendaliannya, selain menggunakan sejumlah wang daripada peruntukan berkenaan untuk membayar Kolfage dan sejumlah besar dimasukkan ke 'kantung peribadi'.

Khuatir sindiket mereka terdedah kepada siasatan jenayah persekutuan sekitar Oktober tahun lalu, mereka mula merangka pelbagai helah untuk mengaburi setiap jejak transaksi dan urusan.

Pendakwa berkata, keempat-empat berdepan pertuduhan dua kes, iaitu masing-masing kerana bersekongkol melakukan penipuan pemindahan dana dan pengubahan wang. - AFP

Berita Harian X