Ahad, 16 Ogos 2020 | 7:57pm
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AFP

Trump lanjut tarikh jual operasi TikTok di AS kepada 90 hari

SAN FRANCISCO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif baharu yang memberikan lanjutan sehingga 90 hari kepada pemilik TikTok, ByteDance, untuk menjual operasi mereka di AS.

Sebelum ini, TikTok diberikan masa 20 hari untuk menjual atau menghadapi tindakan diharamkan di AS tetapi berikutan arahan baharu itu, tempoh bagi ByteDance dilanjutkan sehingga 12 November ini.

Alasan kenapa Trump membuat keputusan itu tidak diketahui tetapi Microsoft sebelum ini sudah menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan perbincangan pengambilalihan sebelum 15 September ini.

Mengikut arahan baru itu, Trump turut menegaskan ByteDance perlu memadam sebarang data TikTok untuk pengguna AS dan data pengguna yang diperoleh bila mengambilalih Musical.ly sebelum ini serta melaporkannya kepada pihak berkuasa.

ByteDance membeli Musical.ly iaitu aplikasi video karaoke, daripada sebuah syarikat China tiga tahun lalu menerusi transaksi hampir AS$1bilion (RM4.19 bilion) dan menggabungkannya dengan TikTok, sekali gus menjadi sensasi global.

Berdasarkan perintah eksekutif awal, Trump berkata ada bukti kukuh bahawa operasi TikTok oleh ByteDance mungkin mengancam keselamatan AS tetapi tidak meminta data pengguna dipadamkan,

Pada masa sama, ia turut melarang perusahaan atau individu di AS melakukan transaksi dengan ByteDance dan Tencent iaitu pemilik aplikasi WeChat.

Trump, pada sidang media kelmarin, apabila ditanya sama ada tindakannya terhadap WeChat mungkin menyebabkan Apple Inc dilarang menjual iPhone di China, berkata beliau tidak bimbang mengenai perkara itu.

"Saya melakukan apa yang terbaik dalam hal keamanan negara kita," katanya kepada wartawan di Rumah Putih. - AFP

Berita Harian X