Jumaat, 14 Ogos 2020 | 12:19am
Presiden AS, Donald Trump - AFP
Presiden AS, Donald Trump - AFP

Israel, UAE capai perjanjian damai - Trump

WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam satu pengumuman mengejut berkata, Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya mencapai perjanjian damai.

Hubungan yang kembali normal antara UAE dan Israel ini adalah satu pencapaian besar, kata Trump melalui Twitter, sambil menyifatkan ia sebagai perjanjian damai bersejarah membabitkan dua rakan baik.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Trump berkata, penyelesaian lebih diplomatik antara Israel dan jiran Islam mereka di rantau dijangka berlaku.

"Ada sesuatu yang bakal berlaku tapi saya perlu merahsiakannya," katanya.

Setiausaha AS, Mike Pompeo, pula menggambarkan peristiwa itu sebagai hari bersejarah dan langkah signifikan ke arah mewujudkan keamanan di Asia Barat.

"AS berharap langkah ini adalah pertama dalam siri perjanjian yang mengakhiri ketegangan selama 72 tahun di rantau itu," katanya.

Dalam satu kenyataan bersama, Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Mohammed Zayed Al Nahyan berkata, mereka bermesyuarat pada Khamis dan bersetuju memulihkan hubungan antara Israel dan UAE.

Sementara itu, Israel bersetuju 'menghentikan penaklukan di wilayah Palestin' di bawah perjanjian damai dengan UAE yang disaksikan AS, kata Putera Mahkota Abu Dhabi menerusi Twitter, hari ini.

"Ketika perbualan telefon dengan Presiden Trump dan Perdana Menteri Netanyahu, persetujuan dicapai untuk Israel menghentikan penaklukan ke atas Palestin," katanya.

Di Jerusalem, Netanyahu menerusi Twitternya berkata, pemulihan hubungan Israel dan UAE yang didedahkan menerusi pengumuman mengejutkan Trump itu dianggap hari penuh sejarah. - AFP

Berita Harian X