Jumaat, 7 Ogos 2020 | 4:55pm
Gambar fail menunjukkan logo ByteDance, syarikat pemilik TikTok, pada pintu masuk di pejabatnya di Beijing, China. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan logo ByteDance, syarikat pemilik TikTok, pada pintu masuk di pejabatnya di Beijing, China. - Foto AFP

Trump sekat TikTok, WeChat

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mengarahkan penyekatan dua aplikasi sosial media milik syarikat China, TikTok dan WeChat, supaya tidak lagi boleh diakses di negara itu.

Melalui perintah eksekutif Trump, arahan yang akan berkuatkuasa dalam tempoh 45 hari itu menyaksikan AS melarang sesiapa saja di bawah bidang kuasanya berurusan dengan pemilik Tiktok atau WeChat.

Perintah itu secara langsung meningkatkan tekanan terhadap ByteDance, syarikat pemilik aplikasi TikTok, untuk memuktamadkan rundingan menjualnya kepada Microsoft selain menyaksikan ketegangan antara pentadbiran Trump dengan China makin serius.

Menurut perintah itu, arahan Trump yang menyasarkan syarikat berkenaan didakwa dibuat atas alasan mahu mempertahankan keselamatan kebangsaan, dasar luar dan ekonomi AS.

"TikTok secara automatik memerangkap sejumlah besar maklumat daripada penggunanya, termasuk Internet dan maklumat aktiviti rangkaian lain seperti data lokasi, pelayaran dan sejarah carian," katanya.

Mengikut perintah itu lagi, data dari TikToh berpotensi digunakan China untuk mengesan lokasi pekerja dan kontrak persekutuan, membina koleksi dokumen individu tertentu untuk memeras ugut serta melakukan pengintipan korporat.

Aplikasi mudah alih TikTok dimuat turun sebanyak 175 juta kali di AS dan lebih satu bilion kali seluruh dunia.

Senat AS semalam mengundi untuk menyekat TikTok daripada dimuat turun melalui telefon bimbit kakitangan kerajaan negara itu, sekali gus memperhebatkan pemeriksaan terhadap aplikasi video popular milik syarikat China itu.

Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan Senat yang dikuasai parti Republikan itu kini diserahkan kepada Dewan Perwakilan yang dipimpin parti Demokrat.

Namun, beberapa agensi AS sudah pun melarang kakitangan mereka memuat turun TikTok di telefon bimbit mereka.

Trump dan pegawai AS lain berpendapat aplikasi itu boleh digunakan untuk pengintipan oleh China, walaupun dinafikan berulang kali oleh TikTok yang tidak beroperasi di China.

TikTok diberi masa sehingga pertengahan September ini untuk diambil oleh firma AS atau dilarang terus beroperasi di AS.

Menurut laporan Financial Times semalam, Microsoft kini memperluaskan perbincangannya dengan TikTok merangkumi pembelian operasi global aplikasi perkongsian video yang sedang berkembang pesat itu.

TikTok pula semalam mengumumkan rancangan untuk membuka pusat data pertamanya membabitkan pengguna Eropah, yang akan ditubuhkan di Ireland.

Mengikut Perintah Eksekutif Trump, WeChat didakwa turut memerangkap data pengguna yang kemudiannya dapat dieksploitasi China tetapi tidak melampirkan sebarang bukti.

WeChat adalah aplikasi mesej, media sosial dan pentas pembayaran elektronik dimiliki syarikat TenCent Holdings dan dilaporkan mempunyai lebih satu bilion pengguna. - AFP

Berita Harian X