Isnin, 3 Ogos 2020 | 1:37pm
Gambar fail pengebom Boston Marathon, Dzhokhar Tsarnaev. - Foto AFP
Gambar fail pengebom Boston Marathon, Dzhokhar Tsarnaev. - Foto AFP

Trump gesa hukuman mati ke atas pengebom Boston Marathon

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meminta pengebom Boston Marathon, Dzhokhar Tsarnaev, dijatuhkan hukuman mati selepas mahkamah rayuan menggugurkan hukuman itu.

"Jarang ada orang yang lebih layak mendapat hukuman mati daripada Dzhokhar Tsarnaev. Begitu banyak nyawa yang hilang.

"Kerajaan Persekutuan mesti menjatuhkan hukuman mati dalam perbicaraan semula, negara kita tidak boleh membiarkan keputusan seumpamanya berlaku," katanya dalam ciapan di Twitter.

Tsarnaev, 27, dijatuhi hukuman mati pada 2015 kerana meletupkan dua bom buatan sendiri berhampiran garisan penamat Boston Marathon pada 2013, mengakibatkan tiga terkorban dan 264 yang lain cedera.

Dia mengaku melakukan serangan itu ketika berusia 19 tahun dengan abangnya, Tamerlan Tsarnaev, yang meninggal dunia empat hari selepas berlaku tembak-menembak dengan polis.

Merujuk kepada isu berkaitan pemilihan juri, Mahkamah Rayuan Persekutuan di Massachusetts Jumaat lalu mengekalkan hukuman terhadap Tsarnaev.

Bagaimanapun, ia mengarahkan mahkamah daerah mendengar semula aspek menentukan hukuman bagi kesalahan yang sepatutnya dikenakan hukuman mati itu.

Namun, tiga hakim menegaskan, apa pun keputusan mahkamah selepas itu, Tsarnaev akan tetap akan dipenjarakan sepanjang hayatnya.

Sementara itu, peguam Tsarnaev, seorang warga AS yang datang ke negara ini dari Russia ketika masih kanak-kanak, mendakwa Tamerlan Tsarnaev yang sebenarnya bersalah memandangkan Dzhokhar tidak mempunyai sejarah keganasan.

Trump sudah berulang kali meminta hukuman mati lebih kerap digunakan dan menjelang pemilihan presiden 3 November ini, pentadbirannya nekad melaksanakan seberapa banyak hukuman mati pada peringkat persekutuan.

Hukuman mati pada peringkat persekutuan jarang dilaksanakan di AS tetapi tiga banduan sudah dijatuhkan hukuman itu selepas Trump mengarahkan ia dilaksanakan semula selepas dihentikan selama 17 tahun.

Satu lagi hukuman mati akan dilaksanakan akhir bulan depan. - AFP

Berita Harian X