Isnin, 3 Ogos 2020 | 10:31am
Gambar diedarkan NASA menunjukkan kapal angkasa SpaceX Crew Dragon Endeavour membawa angkasawan Robert Behnken dan Douglas Hurley mendarat di Teluk Mexico. - Foto AFP
Gambar diedarkan NASA menunjukkan kapal angkasa SpaceX Crew Dragon Endeavour membawa angkasawan Robert Behnken dan Douglas Hurley mendarat di Teluk Mexico. - Foto AFP

SpaceX bawa angkasawan NASA pulang dengan selamat

WASHINGTON: Kapal angkasa pertama Amerika Syarikat (AS) yang terbang ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kembali dengan selamat ke bumi semalam, mendarat di Teluk Mexico.

Kapal angkasa SpaceX Crew Dragon Endeavour jatuh di perairan Pensacola, Florida jam 2.48 petang menggunakan empat payung terjun, iaitu pendaratan di air pertama sejak misi Apollo-Soyuz 1975.

Angkasawan, Doug Hurley, berkata ia adalah satu penghormatan dan penghargaan kepadanya yang turut menyertai misi bersama Komander Bob Behnken.

Sejumlah kapal awam mengerumuni zon pendaratan untuk melihat kapsul itu tiba, namun ia hanya dibuka sejam selepas mendarat berikutan terdapat kebocoran wap bahan bakar roket itu.

Dua angkasawan itu kemudian dibawa menaiki helikopter dan dihantar ke Houston untuk bersama keluarga masing-masing.

Pentadbiran NASA, Jim Bridenstine, berkata mereka memasuki era baru ekspedisi angkasa lepas, di mana NASA bukan lagi pembeli, pemilik dan pengendali semua perkakasan.

Sementara itu, Presiden SpaceX, Gwynne Shotwell, berkata ini baru permulaan dan akan merancang perjalanan membawa orang ke dan dari orbit bumi rendah ke bulan dan akhirnya ke Marikh.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang datang ke Florida untuk pelancaran kapsul dua bulan lalu, turut menyambut kepulangan angkasawan itu.

"Terima kasih semua. Bagus melihat angkasawan NASA kembali semula ke bumi selepas kejayaan misi dua bulan," tulisnya dalam ciapan di Twitter.

AS terpaksa bergantung pada Russia untuk perjalanan ke angkasa lepas sejak Space Shuttle terakhir berlepas pada tahun 2011.

Misi ini juga adalah kemenangan besar bagi Elon Musk, pemilik SpaceX yang hanya ditubuhkan pada tahun 2002 tetapi dapat mengatasi Boeing dalam saingan meneroka angkasa lepas secara komersial. - AFP

Berita Harian X