Ahad, 2 Ogos 2020 | 6:27pm
Connie Culp menjalani 30 pembedahan sebelum melakukan pindahan muka menerusi prosedur kompleks selama 22 jam pada 2008 di Klinik Cleveland. - Foto AGENSI
Connie Culp menjalani 30 pembedahan sebelum melakukan pindahan muka menerusi prosedur kompleks selama 22 jam pada 2008 di Klinik Cleveland. - Foto AGENSI

Penerima pindahan muka pertama AS meninggal dunia

WASHINGTON: Penerima pertama pindahan separuh muka di Amerika Syarikat (AS), Connie Culp, yang menjalani pembedahan 12 tahun lalu, meninggal dunia pada usia 57 tahun di Klinik Cleveland, Ohio.

Ketua Dermatologi dan Pembedahan Plastik Klinik Cleveland, Frank Papay, yang tidak memperincikan punca kematian Culp bagaimanapun menyifatkan beliau sebagai 'perintis terhebat'.

"Keputusan beliau menjalani prosedur yang kadang kala digambarkan sebagai sangat menggerunkan ialah hadiah paling bermakna untuk semua manusia," katanya.

Culp mengalami kecederaan parah pada 2004 selepas suaminya menembak beliau, sebelum lelaki berkenaan mengacukan pistol ke diri sendiri.

Tembakan pada jarak dekat itu menyebabkan hidung, pipi, bahagian atas mulut dan mata Culp hancur.

Suaminya yang tidak mengalami kecederaan parah seperti Culp kemudian dipenjarakan selama tujuh tahun susulan kejadian terbabit.

Culp menjalani 30 pembedahan sebelum melakukan pindahan muka menerusi prosedur kompleks selama 22 jam pada 2008 di Klinik Cleveland.

Ibu kepada dua cahaya mata itu kemudian menjadi jurucakap keganasan rumah tangga, selain tampil memberikan sokongan terhadap mana-mana individu yang menjalani pindahan muka, termasuk Charla Nash.

Nash dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan menjalani prosedur pindahan selepas digigit cimpanzi yang menjadi haiwan peliharaan. - AFP

Berita Harian X