Khamis, 23 Julai 2020 | 10:06am
Pemandangan udara kubur yang sudah siap di gali di Tanah Perkuburan Vila Formosa di pinggir Sao Paulo, Brazil. Brazil merekodkan sebanyak 67,860 jangkitan baharu dengan 1,284 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.- Foto AFP
Pemandangan udara kubur yang sudah siap di gali di Tanah Perkuburan Vila Formosa di pinggir Sao Paulo, Brazil. Brazil merekodkan sebanyak 67,860 jangkitan baharu dengan 1,284 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.- Foto AFP

COVID-19: Brazil catat rekod baharu

BRASILIA: Brazil mencatatkan rekod harian baharu semalam dengan hampir 68,000 kes jangkitan, menunjukkan tanda bahawa masih jauh untuk berada pada paras terkawal di negara terjejas teruk itu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, berkata sebanyak 67,860 jangkitan baharu dengan 1,284 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Untuk rekod, negara terbesar di Amerika Selatan dengan jumlah populasi penduduk seramai 212 juta orang mencatatkan 2.2 juta kes jangkitan dan 82,771 kematian akibat pandemik itu sejak kes pertama dikesan lima bulan lalu, dan mungkin angka itu lebih tinggi.

Presidennya, Jair Bolsonaro, 65, sebelum ini berdepan dengan kritikan hebat kerana tidak mengendahkan bahaya virus, mengecam amalan berjaga-jaga serta tidak melakukan sebarang pencegahan, kini masih positif jangkitan COVID-19 dan melakukan kuarantin di kediamannya sejak 7 Julai lalu dan menangguh sebarang perjalanan.

Malah, beliau juga berpendapat kejatuhan ekonomi akibat arahan perintah berkurung dan duduk di rumah adalah lebih buruk daripada wabak virus itu sendiri selain mengambil ubat anti malaria dan hidroksioklorokuin yang belum terbukti keberkesanannyat, mengikuti jejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pakar di institusi kesihatan awam terkemuka di Brazil, Fiocruz, Margareth Dalcomo menjelaskan, tindakan Bolsonaro mengambil ubat berkenaan yang dianggapnya sebagai anti virus itu sangat menyedihkan, tiada bukti dan menipu orang ramai.

Bolsonaro kini mempunyai menteri kesihatan ketiga sejak wabak itu dikesan di Brazil lima bulan lalu, selepas dua doktor yang sebelum ini memegang jawatan itu melepaskan jawatannya.

Menteri sementara kini disandang oleh Eduardo Pazuello, seorang jeneral tentera yang tidak mempunyai pengalaman perubatan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan Brazil sudah mencapai tahap jangkitan tertinggi dan mendesak negara itu mengambil tindakan kawalan segera di mana secara purata lebih daripada 37,000 jangkitan dan 1,050 kematian sehari berlaku pada minggu lalu.

Rekod jangkitan harian sebelum ini ialah 54,771 kes pada 19 Jun. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X