Jumaat, 17 Julai 2020 | 5:32pm
Doktor dan jururawat sedang merawat pesakit COVID-19 di Hospital Sharda, Greater Noida di India, yang mencatat lebih sejuta jangkitan hari ini. - Foto AFP
Doktor dan jururawat sedang merawat pesakit COVID-19 di Hospital Sharda, Greater Noida di India, yang mencatat lebih sejuta jangkitan hari ini. - Foto AFP

Kes jangkitan COVID-19 global menghampiri 14 juta mangsa

WASHINGTON: Kes COVID-19 global setakat hari ini merekodkan 13,953,344 jangkitan termasuk 592,778 kematian manakala 8,285,183 pesakit disahkan sembuh.

Tiga negara paling terjejas di dunia terus menyaksikan peningkatan kes dan turut mencatat rekod baharu dengan Amerika Syarikat (AS) yang berada di tempat pertama, merekodkan 75,428 kes jangkitan dalam tempoh 24 jam.

Brazil, di tempat kedua, menyaksikan mangsa dijangkiti virus itu melebihi dua juta orang semalam manakala India, yang berada di tempat ketiga, merekodkan mangsa jangkitan melebihi sejuta orang hari ini.

AS setakat hari ini mencatatkan 3,695,025 kes jangkitan termasuk 141,118 kematian, diikuti Brazil dengan 2,014,738 jangkitan termasuk 76,822 kematian dan India dengan 1,005,760 jangkitan termasuk 25,619 kematian.

Florida, sebagai pusat wabak di AS, mencatatkan 156 kematian COVID-19 semalam dan hampir 14,000 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 315,000 jangkitan dan 4,782 kematian, menurut Jabatan Kesihatan Florida.

Di India yang mempunyai penduduk kira-kira 1.3 bilion, pakar berpendapat angka sejuta jangkitan adalah rendah, namun jumlahnya dijangka meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan mendatang.

Ia diramal meningkat seiring dengan peningkatan ujian, sekali gus memudaratkan sistem penjagaan kesihatan yang kini sudah berada dalam keadaan mendesak.

Pandemik COVID-19 di India melonjak sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan sudah merebak ke luar bandar besar, sekali gus melepasi jangkitan di Russia, yang pada minggu lalu adalah negara ketiga paling terjejas akibat virus itu.

Menurut data Kementerian Kesihatan Persekutuan, India mencatatkan 34,956 jangkitan baharu hari ini.

Ahli epidemiologi berkata, penularan jangkitan COVID-19 di India mungkin mengambil masa berbulan-bulan lagi untuk mencapai kemuncaknya.

Di Brazil pula, data kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat lebih 45,000 kes jangkitan baharu termasuk 1,300 kematian dalam tempoh 24 jam.

Pakar penyakit berjangkit dari Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, Jean Gorinchteyn, berkata jumlah itu jauh lebih rendah berbanding angka sebenar kerana ujian tidak dilakukan secara meluas.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

"Dalam tempoh lebih dua bulan lalu, Brazil merekodkan lebih 30,000 kes baharu harian (24 jam) sebanyak 26 kali termasuk 11 kali di mana jumlahnya melebihi 40,000 jangkitan.

"Justeru, angka dua juta jangkitan ini hanya simbolik kerana kita tidak lakukan ujian secara besar-besaran, malah jumlah sebenar mungkin empat atau lima kali ganda lebih tinggi.

"Dalam senario terburuk, jumlah sebenar mungkin 10 kali ganda lebih tinggi kerana purata jumlah kematian harian melebihi 1,000 selama hampir sebulan," katanya. - AGENSI.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X