Khamis, 16 Julai 2020 | 9:13am
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP

Presiden Brazil sah positif COVID-19

BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, semalam mengumumkan beliau disahkan positif COVID-19 buat kali kedua selepas ujian positif yang pertama kelmarin.

"Saya baik, pagi semalam saya melakukan ujian COVID-19 dan disahkan masih positif petang semalam," katanya dalam paparan di Facebook

Beliau juga memaklumkan tidak mengalami sebarang simptom dan mendapati rawatan menggunakan ubat anti malaria, hidroksiklorokuin, sejak disahkan positif bagi virus itu minggu lalu, adalah berkesan.

"Saya tidak mengesyorkan apa-apa, saya sarankan supaya anda bercakap dengan doktor anda kerana bagi kes saya, seorang doktor tentera mencadangkan hidroksiklorokuin dan ia berkesan," katanya.

Pejabat media presiden, dalam satu kenyataan, berkata Bolsonaro, 65, adalah dalam kategori berisiko tinggi dan akan dikuarantin di kediaman rasmi, Alvorada Palace serta meneruskan tugasnya menerusi sidang video.

Presiden berhaluan kanan itu mencetuskan kontroversi di Brazil kerana sering melanggar protokol perintah berkurung bagi membendung COVID-19 .

Brazil adalah negara kedua paling teruk terjejas akibat virus itu di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), dengan mencatatkan hampir dua juta kes jangkitan termasuk 75,366 kematian. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X