BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang sering memandang remeh risiko COVID-19, semalam memaklumkan bahawa beliau telah menjalani ujian saringan selepas menunjukkan gejala, termasuk demam.
Bolsonaro dalam temu ramah dengan CNN Brazil berkata, beliau menjalani pemeriksaan X-ray pada bahagian paru-paru di sebuah hospital tentera sebagai langkah berjaga-jaga, dan keputusannya dijangka diketahui hari ini.
AFP menghubungi pejabat Bolsonaro untuk maklum balas, namun pembantu beliau tidak memberikan respons segera.
Sejak wabak itu tercetus, Bolsonaro sering memandang ringan risikonya yang beliau pernah anggap sebagai 'selesema ringan', selain melanggar peraturan penjarakan sosial dan langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam.
Brazil ialah negara kedua paling terkesan dengan pandemik COVID-19 di dunia apabila mencatatkan lebih 65,000 kematian dan lebih 1.6 juta kes jangkitan. - AFP