Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:11pm
Brian Woods menghasilkan pelitup muka daripada kulit ular di bengkelnya. - FOTO AFP
Brian Woods menghasilkan pelitup muka daripada kulit ular di bengkelnya. - FOTO AFP

COVID-19: Fesyen pelitup muka daripada kulit ular, iguana

DELRAY BEACH (AMERIKA SYARIKAT): Seorang pengusaha barangan kulit di Florida, tampil dengan ilham tersendiri untuk menangani kedua-dua pandemik COVID-19 serta masalah pencerobohan ular sawa dan iguana di negeri ini.

Pemilik All American Gator Products, Brian Woods, 63, mengambil langkah mereka dan menghasilkan pelitup muka yang diperbuat daripada kulit reptilia berkenaan.

"Saya mengambil suatu yang amat serius dan menjadikannya fesyen," katanya di bengkel beliau di Dania Beach yang terletak kira-kira 40 kilometer dari utara Miami.

Woods mendapat inspirasi itu tatkala melihat seekor kuda memakai pelitup muka yang diperbuat daripada baju dalam wanita.

Kini, Woods menjual pelitup muka yang dihasil menggunakan kulit ular, melalui laman Facebook beliau pada harga AS$90.

Pemburu ular, Amy Siewe, tiba di rumah Woods dengan membawa seekor ular sawa gergasi untuk dikuliti.

"Haiwan ini menimbulkan malapetaka di Everglades. Ia membesar dengan mencecah antara 5.5 hingga enam meter panjang dan membaham segala-galanya daripada tikus hinggalah rusa," katanya.

Ular sawa berkemungkinan dibawa ke Florida sebagai binatang peliharaan eksotik menjelang akhir abad lalu dan dilepaskan ke Everglades yang tidak mempunyai haiwan pemangsa.

Suruhanjaya Konservasi Hidupan Liar dan Ikan Florida membayar pemburu dengan sejumlah wang untuk menangkap ular berkenaan.

Iguana juga berkemungkinan dibawa ke Florida sebagai binatang peliharaan sebelum dilepaskan ke alam hidupan liar dan terus membiak. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X