Sabtu, 23 Mei 2020 | 7:52am
Pandangan dari udara ke atas sebuah kawasan dipenuhi kubur baharu di Manaus ketika Brazil bergelut krisis COVID-19. - FOTO AFP
Pandangan dari udara ke atas sebuah kawasan dipenuhi kubur baharu di Manaus ketika Brazil bergelut krisis COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: WHO isytihar Amerika Latin pusat baharu pandemik

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan Amerika Latin sebagai 'pusat baharu' pandemik COVID-19.

Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mahu gereja dibuka semula walaupun negara itu masih berdepan ancaman wabak berkenaan.

Minggu ini, Brazil mencatat angka korban melebihi 20,000 mangsa dan bersama 310,000 kes jangkitan, gergasi Amerika Latin itu kini muncul negara ketiga paling terjejas selepas AS serta Russia.

"Dari satu segi, Amerika Selatan telah menjadi pusat baharu penularan penyakit itu.

"Sudah tentu banyak negara berkenaan dibelenggu kebimbangan, namun Brazil jelas yang paling terkesan ketika ini," kata Pengarah Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mike Ryan.

Beliau berkata, kebanyakan kes COVID-19 di Brazil berada di Sao Paulo yang berpenduduk padat, namun kadar jangkitan tertinggi dicatatkan di negeri Amazonas dengan kira-kira 490 orang telah dijangkiti bagi setiap 100,000 penduduk.

Berbeza dengan Eropah dan AS di mana warga emas adalah golongan paling terkesan, kematian di Brazil membabitkan jumlah signifikan dalam kalangan orang muda yang terpaksa bekerja akibat kemiskinan walaupun berdepan ancaman wabak itu.

"Brazil mempunyai populasi lebih muda, justeru adalah normal apabila mencatatkan bilangan kes lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berumur bawah 60-an.

"Ramai yang terpaksa mendedahkan diri kepada virus itu kerana mereka tiada pilihan," kata pakar epidemiologi di University of Brasilia, Mauro Sanchez.

Susulan peningkatan kes kematian akibat COVID-19, penggali kubur di perkuburan luar Sao Paulo bergelut untuk memenuhi keperluan mengebumikan mayat pesakit.

"Kami bekerja 12 jam sehari, mengebumikan satu demi satu pesakit yang meninggal dunia. Ia tidak berhenti-henti," kata seorang pekerja di Vila Formosa yang memakai peralatan perlindungan diri.

Dalam pada itu, China memberi amaran bahawa ekonominya bakal menderitai kesan sangat teruk akibat krisis COVID-19.

Malah buat kali pertama dalam tempoh selama berdekad-dekad, pemerintah komunis Beijing mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan sasaran pertumbuhan atas faktor pandemik berkenaan.

Peningkatan jangkitan di sebahagian besar Amerika Selatan dan Amerika Tengah terus melonjakkan angka korban global, sementara negara terjejas teruk di Eropah seiring AS, berusaha bergerak ke fasa pemulihan secara berhati-hati bersama penurunan kadar jangkitan baharu.

COVID-19 telah meragut lebih 335,500 nyawa sejak tercetus di China pada akhir tahun lalu dengan lebih 5.1 juta jangkitan diisytiharkan di 196 negara dan wilayah, menurut satu penjumlahan AFP, setakat jam 7 malam tadi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X