Jumaat, 22 Mei 2020 | 6:13pm
Presiden Donald Trump kembali ke White House selepas melawat kilang Ford di Michigan. FOTO AFP
Presiden Donald Trump kembali ke White House selepas melawat kilang Ford di Michigan. FOTO AFP

COVID-19: Trump desak AS dibuka semula, PM China ingatkan mengenai cabaran

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mendesak pembukaan semula Amerika Syarikat (AS) susulan peningkatan kehilangan pekerjaan akibat COVID-19, sementara Perdana Menteri China memberi amaran berhubung cabaran besar ekonomi meskipun negara gergasi Asia itu bangkit daripada pandemik berkenaan.

Gesaan untuk memulakan langkah itu bagi dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu hadir di saat sebahagian besar Eropah kini menjalani kehidupan normal selari dengan krisis yang sudah reda di sana, di mana lebih banyak kedai dibuka, selain tempat tarikan di pantai juga menggalakkan kedatangan pelancong.

Penarikan semula larangan di beberapa tempat juga berlaku meskipun kes membabitkan virus itu menjangkiti lebih lima juta individu di seluruh dunia, dengan penyakit itu dikesan terus menular di Amerika Latin dan Russia.

Trump yang sedang memerhati prospek sama ada dirinya dipilih semula pada November ini menjelaskan, beliau berharap lebih ramai gabenor negeri di AS akan lebih terbuka terhadap kelonggaran sekatan anti-virus.

"Kita melakukan perkara yang betul, namun kini kita mahu terus ke depan ... anda akan merosakkan negara jika tidak melakukannya," katanya memberitahu pemimpin Afrika-Amerika di Michigan.

Jabatan Tenaga Kerja semalam melaporkan seramai 2.43 juta lagi rakyat Amerika dibuang kerja minggu lalu, menjadikan keseluruhan yang menganggur ialah 38.6 juta sejak perintah berkurung dilaksanakan.

Pemimpin parti Republikan itu juga turut membincangkan mengenai pembukaan semula rumah ibadat, yang diharap dapat dilaksanakan pada Hari Easter berikutan ia penting untuk proses pemulihan rakyat.

"Orang ramai mahu berada di gereja ... ia sangat penting bagi jiwa negara kita," kata Trump.

Presiden itu mengangkat tema 'transisi kembali kepada kehebatan' ketika negeri dibuka semula bergantung kepada kesesuaian yang berbeza.

Kematian masih meningkat di AS dengan keseluruhan angka yang direkodkan melebihi 94,000 dan Trump mengarahkan bendera di bangunan persekutuan untuk dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bagi menghormati mangsa.

Di seberang Atlantik, sebahagian rakyat Eropah cuba untuk menghidupkan kembali kehidupan dengan Cyprus menarik semula perintah berkurung dan membenarkan pembukaan restoran, kedai gunting rambut dan pantai.

Namun, lapangan terbang dan hotel di pulau Mediterranean masih ditutup.

Di Denmark, tindakan ke arah keluar daripada penutupan turut dilakukan di mana muzium dan zoo juga dibuka semula di mana menurut pegawai kesihatan di sana, penularan wabak dikesan semakin perlahan.

Perancis, salah sebuah negara yang terjejas teruk akibat wabak itu, menyaksikan angka kematian hariannya menurun kepada 83, sekali gus menjurus kepada sikap optimistik.

Namun, ketika banyak negara Eropah secara signifikan membendung jangkitan, Amerika Latin dilihat sebagai pusat baharu wabak dengan kes direkodkan meningkat.

Brazil kini menjadi negara ketiga yang mempunyai kes tertinggi di dunia selepas AS dan Russia, merekodkan lebih 20,000 kematian dengan rekod tertinggi kematian sebanyak 1,188 dalam tempoh 24 jam.

Peru, Mexico dan Chile juga menyaksikan peningkatan jangkitan yang berterusan.

Kematian di seluruh dunia kini melepasi angka 330,000, berdasarkan sumber rasmi AFP. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X