Jumaat, 22 Mei 2020 | 5:41pm
 AS menjadi negara paling terjejas akibat COVID-19, dengan lebih 1.5 juta kes jangkitan dan lebih 93,000 kematian direkodkan. - Foto AFP
AS menjadi negara paling terjejas akibat COVID-19, dengan lebih 1.5 juta kes jangkitan dan lebih 93,000 kematian direkodkan. - Foto AFP

COVID-19: Lebih 35,000 nyawa selamat jika penjarakan sosial seminggu awal

NEW YORK: Lebih daripada 35,000 nyawa boleh diselamatkan di Amerika Syarikat (AS) sekiranya langkah penjarakan sosial dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu awal berbanding yang dilakukan pertengahan Mac lalu, menurut jangkaan baharu oleh penyelidik di Universiti Columbia.

Mereka berkata, simulasi itu berdasarkan beberapa model yang menunjukkan 61 peratus daripada kes jangkitan di AS pada 3 Mei melebihi 700,000 dan 55 peratus daripada 65,000 kematian direkodkan boleh dihindari jika penjarakan sosial dan langkah keselamatan dilaksanakan seminggu awal.

Pasukan penyelidik menyatakan simulasi yang dilakukan menggambarkan bahaya langkah kelonggaran perintah berkurung dibuat terlalu awal, seperti yang dinyatakan ramai pakar.

Semua 50 negeri di AS memulakan langkah untuk dibuka semula, hingga satu peringkat dengan usaha Presiden Donald Trump untuk mencuba menghidupkan kembali ekonomi yang hancur ekoran penutupan perniagaan dan pemberhentian kerja disebabkan COVID-19.

"Usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai kebolehjangkitan yang tinggi dan potensi ledakan pertumbuhan COVID-19 masih lagi diperlukan dalam tempoh kritikal ini.

"Keputusan kami juga menunjukkan bahawa tanpa saringan meluas yang mencukupi dan kapasiti pengesanan kontak, terdapat jurang luas antara perolehan jangkitan dan pengesahan kes menutupi jangkitan semula dan pertumbuhan secara pantas COVID-19 sehingga ia mampu berjalan dengan baik," kata mereka.

Sepuluh hari lalu, pembuat filem dokumentari, Eugene Jarecki, meletakkan mesej 'jam kematian Trump' melalui papan iklan di Times Square.

Jarecki berkata, jumlah kematian yang tinggi dapat dielakkan sekiranya Trump melaksanakan arahan penjarakan sosial pada 9 Mac, berbanding 16 Mac.

Beliau berpendapat, 60 peratus kematian AS mungkin dapat dielakkan jika langkah itu diambil seminggu lebih awal.

AS menjadi negara yang paling terjejas akibat COVID-19, dengan lebih 1.5 juta kes jangkitan dan lebih 93,000 kematian direkodkan, berdasarkan pengiraan Universiti Johns Hopkins. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X