Jumaat, 15 Mei 2020 | 10:59am
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau hadir mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 di Parlimen. - Foto AFP
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau hadir mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 di Parlimen. - Foto AFP

COVID-19: Rakyat Kanada kena terima hakikat dunia sudah berubah

OTTAWA: Rakyat Kanada perlu terima hakikat bahawa dunia sudah berubah walaupun pandemik COVID-19 sudah berakhir dan vaksin berjaya dibangunkan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menggesa rakyatnya menyesuaikan diri dengan normal baharu yang memerlukan amalan kehidupan dan persekitaran yang berbeza.

"COVID-19 ini akan menjadi sesuatu yang mengubah masyarakat seluruh dunia...sekali gus memerlukan penyesuaian termasuk gaya kehidupan baharu tidak seperti sebelum ini," katanya.

Trudeau mengumumkan langkah baharu bagi menyokong sektor terjejas teruk termasuk menyalurkan bantuan bernilai AS$334 juta (RM1.4 bilion) kepada sektor perikanan dan pembukaan semula sebahagian taman nasional.

Pada Rabu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan COVID-19 akan menjadi endemik seperti HIV yang tidak akan hilang.

Terdahulu, Trudeau berkata, lebih banyak wilayah di Kanada mula melonggarkan sekatan untuk bergerak dan membuka semula aktiviti ekonomi.

Katanya, wilayah paling padat di Kanada, Ontario akan membenarkan beberapa kedai runcit, pengedar kenderaan dan tapak pembinaan dibuka semula pada 19 Mei ini dalam tiga peringkat bagi memulakan semula ekonomi wilayah itu.

Kanada mencatatkan peningkatan kes kematian sebanyak 2.5 peratus kepada 5,337 pada Rabu, iaitu satu kenaikan harian yang kecil.

Lebih daripada 60 peratus kematian berlaku di Quebec, wilayah kedua paling ramai penduduk dari 10 wilayah.

Selain sokongan kepada sektor perikatan, Ottawa juga memperluaskan program subsidi upah yang mendorong lebih ramai majikan mengekalkan jumlah pekerja.

Petani dan perniagaan pertanian Kanada telah memohon sebahagian besar kredit tambahan sebanyak AS$3.55 bilion (RM14.5 bilion) yang ditawarkan Ottawa untuk meningkatkan aliran tunai mereka dalam waktu kurang daripada dua bulan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X