Selasa, 31 March 2020 | 10:54am
Jalan Periferico lenggang di Mexico City berikutan wabak COVID-19. Foto AFP.
Jalan Periferico lenggang di Mexico City berikutan wabak COVID-19. Foto AFP.

COVID-19: Mexico isytihar darurat kesihatan

MEXICO CITY: Kerajaan Mexico mengisytihar darurat kesihatan di negara berkenaan dengan langkah-langkah ketat untuk menghalang wabak COVID-19.

Ini berikutan Kementerian Kesihatan Mexico mengesahkan peningkatan kes baharu sebanyak 1,094 di negara itu, berbanding angka direkodkan kelmarin, iaitu 993 kes.

Seramai 28 orang maut, iaitu meningkat berbanding 20 kematian semalam.

Mexico melanjutkan semua kegiatan tidak penting sehingga 30 April dan perhimpunan dihadkan kepada 50 orang sahaja.

Penduduk berusia 60 tahun ke atas juga dinasihatkan berada di rumah.

Di Washington, data yang dikumpulkan oleh Johns Hopkins University, menunjukkan lebih daripada 163,000 kes positif COVID-19 direkodkan di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan itu, angka kematian di AS mencecah 3,008 orang dengan kes keseluruhannya sebanyak 163,429, iaitu jauh mengatasi negara lain yang terjejas teruk termasuk Itali, Sepanyol dan China.

Presiden AS, Donald Trump turut dikritik hebat kerana Kerajaan Persekutuan dilihat lambat mengambil tindakan sewajarnya hingga pandemik berkenaan tersebar dengan begitu pantas.

Keadaan menyedihkan di kebanyakan hospital, seperti di New York apabila persiapan amat rendah sehingga kepada keperluan asas, termasuk topeng muka dan alat bantuan pernafasan tidak disediakan.

Ahad lalu, Trump membatalkan rancangannya bagi membuka semula sekatan perjalanan ke negara itu yang sedang melaksanakan perintah berkurung pada sambutan Easter yang jatuh pada tanggal 12 April depan.

Trump juga melanjutkan amalan penjarakan sosial sehingga penghujung April ini selepas menerangkan data mengenai peningkatan krisis COVID-19 di negara itu.

Beliau juga berkata, kadar kematian di AS dijangka meningkat dalam masa dua minggu ini, sebagaimana ramalan saintis kanan, Anthony Fauci yang memaklumkan wabak COVID-19 mungkin akan mengancam lebih daripada 200,000 nyawa rakyat di negara itu. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X