Khamis, 26 March 2020 | 5:49pm
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - FOTO REUTERS
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - FOTO REUTERS

COVID-19: Presiden Brazil terima kritikan hebat

BRASILIA: Presiden Jair Bolsonaro menerima kritikan hebat daripada komuniti perubatan dan pihak pembangkang, semalam, kerana meremehkan pandemik COVID-19 serta mengulangi kecamannya terhadap langkah mengekang penularan wabak itu.

Beliau berulang kali membidas pelaksanaan langkah ketat untuk memerangi virus berkenaan yang digelarnya sebagai ‘selesema kecil’ yang mengakibatkan tindak balas ‘berlebihan’.

Terbaru pada malam kelmarin, Bolsonaro mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengkritik dengan perutusan yang mengutuk langkah pihak berkuasa tempatan seperti menutup perniagaan dan mengarahkan penduduk berkurung di dua bandar terbesar Brazil, iaitu Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Beliau menegaskan, tindakan sedemikian berisiko meruntuhkan ekonomi Brazil yang merupakan terbesar di Amerika Latin.

Pendiriannya itu yang jelas bercanggah dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menerima kecaman hebat daripada sekumpulan lapan persatuan profesional perubatan.

Mereka menggelar Bolsonaro sebagai ‘musuh kesihatan rakyat’ di mana tindak balasnya terhadap krisis itu disifatkan ‘tidak masuk akal dan satu jenayah’.

“Beliau menafikan badan dengan bukti saintifik yang memberikan panduan melawan pandemik COVID-19 di seluruh dunia, menghina kerja keras dan berdedikasi oleh rangkaian penyelidik serta profesional teknologi kesihatan nasional dan global,” kata persatuan terbabit.

Namun, Bolsonaro tidak terkesan dengan kecaman dilemparkan, sebaliknya terus mempertahankan pendirian beliau.

“Syarikat tidak menghasilkan sebarang pengeluaran. Mereka tidak dapat membayar pekerja... Kita sedang berdepan huru-hara.

“Kita boleh berakhir dengan masalah seperti orang ramai merompak pasar raya... Apa yang kita perlu lakukan? Bagi orang kembali bekerja. Lindungi warga emas, lindungi orang yang mempunyai masalah kesihatan, itu saja,” katanya kepada pemberita di luar kediaman Presiden, di sini.

Bolsonaro, bekas kapten tentera yang pernah dikritik kerana memuji kediktatoran tentera Brazil (1964-1985), turut memberi amaran bahawa krisis pandemik itu boleh menjejaskan demokrasi.

“Bagaimana jika ini menjejaskan ‘norma demokrasi’ yang anda semua pertahankan dengan begitu tegas?

“Ia tidak akan datang daripada saya, jangan bimbang,” katanya.

Beliau membandingkan pendekatannya terhadap wabak COVID-19 dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang dikaguminya.

“Kami mengikuti satu garisan yang sama,” katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X