Khamis, 26 March 2020 | 3:05pm
Gambar fail - REUTERS
Gambar fail - REUTERS

COVID-19: Kumpulan pakar keselamatan siber lawan penggodam

SAN FRANCISCO: Sebuah kumpulan antarabangsa membabitkan hampir 400 sukarelawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan siber, ditubuhkan bagi melawan penggodaman berkaitan COVID-19.

Kumpulan dikenali sebagai Liga COVID-19 CTI (singkatan kepada perisik ancaman siber) itu dibarisi anggota daripada lebih 40 negara dengan meliputi golongan profesional yang menyandang jawatan kanan di syarikat utama seperti Microsoft Corp dan Amazon.com Inc.

Salah seorang daripada empat pengurus permulaan kumpulan itu, Marc Rogers, berkata keutamaan mereka ialah memerangi penggodaman ke atas kemudahan perubatan dan barisan hadapan menghadapi pandemik berkenaan.

Malah, kumpulan berkenaan sudah memulakan kerja membanteras penggodaman ke atas organisasi kesihatan.

Rogers yang juga Ketua Keselamatan pada persidangan penggodaman Def Con dan Naib Presiden di syarikat keselamatan Okta Inc, berkata satu lagi perkara utama ialah pertahanan rangkaian komunikasi serta perkhidmatan yang kini menjadi penting berikutan semakin ramai orang bekerja dari rumah.

Kumpulan itu turut menggunakan rangkaian hubungan mereka dalam kalangan penyedia infrastruktur Internet untuk membanteras pelbagai serangan ‘phishing’ dan jenayah kewangan lain yang mengambil kesempatan atas kebimbangan awam terhadap wabak COVID-19 atau keinginan mendapatkan maklumat mengenainya, untuk menipu pengguna siber.

“Saya tidak pernah melihat jumlah ‘phishing’ sebanyak ini. Ia membabitkan mesej ‘phishing’ dalam setiap bahasa yang diketahui manusia,” kata Rogers.

‘Phishing’ adalah pesanan palsu yang cuba mendorong penerima memasukkan kata laluan atau maklumat sensitif lain dalam laman web dikawal penggodam yang kemudian menggunakan data terbabit untuk mengawal bank, e-mel atau akaun lain.

Rogers berkata, kumpulan itu telahpun menghapuskan satu kempen yang menggunakan kelemahan sebuah perisian untuk menyebarkan perisian berniat jahat.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan maklumat lanjut dan menjelaskan, kumpulan itu secara umumnya akan keberatan untuk mendedahkan apa yang mereka perjuangkan.

Katanya, penguat kuasa undang-undang mengalu-alukan usaha sama kumpulan itu, sekali gus memperakui ancaman besar penggodaman. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X