Khamis, 26 March 2020 | 1:19pm
Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper. - FOTO AFP
Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper. - FOTO AFP

COVID-19: Setiausaha Pertahanan AS arah pergerakan dibekukan 60 hari

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan, Mark Esper, semalam mengarahkan pergerakan tentera dan kakitangan pertahanan awam Amerika Syarikat (AS) di luar negara, dibekukan selama 60 hari bagi mengekang penularan COVID-19.

Langkah itu sekali gus menghentikan penempatan atau penempatan semula kira-kira 90,000 anggota perkhidmatan AS untuk dua bulan akan datang.

Pembekuan itu turut membabitkan ahli keluarga yang mengikut anggota perkhidmatan berkenaan ke negara penempatan masing-masing.

“Langkah ini diambil bagi membantu usaha mencegah penularan COVID-19 demi melindungi personel AS dan menjaga kesediaan operasi pasukan global kita,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, arahan Esper ‘tidak dijangka memberi impak’ terhadap pengunduran kira-kira 4,000 tentera AS di Afghanistan yang disasarkan selesai dalam tempoh 135 hari dari tarikh perjanjian damai dengan Taliban pada 29 Februari lalu.

Setakat pagi semalam, Pentagon memaklumkan bahawa terdapat 435 jangkitan COVID-19 meliputi kes yang telah sembuh, dalam kalangan personel tentera, orang awam, kontraktor dan keluarga mereka.

Seorang kontraktor Jabatan Pertahanan meningkat dunia akibat wabak itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X