Rabu, 25 March 2020 | 1:09pm
Presiden AS, Donald Trump. - FOTO REUTERS
Presiden AS, Donald Trump. - FOTO REUTERS

COVID-19: Dapat lihat 'cahaya di hujung terowong' - Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam mengisytiharkan krisis wabak COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) bakal berakhir, malah menyeru penjarakan sosial dihentikan segera, meskipun Gabenor New York menyifatkan penularan pandemik yang semakin meningkat itu seperti ‘kereta api peluru’.

Trump menegaskan, penjarakan sosial begitu menjejaskan ekonomi AS sehingga mendorong Kongres untuk membahaskan satu pakej penyelamatan yang bersejarah.

“Negara kita - bukan dibina untuk ditutup. Anda boleh memusnahkan sebuah negara dengan menutupnya.

“Saya suka negara ini dibuka dan terus bergerak ke depan menjelang sambutan Easter,” katanya melalui siaran Fox News sambil mengisytiharkan beliau dapat melihat ‘cahaya di hujung terowong’ bagi krisis penularan COVID-19 di AS.

Trump yang mahu kempen pemilihan semula beliau kembali ke landasan, turut berharap gereja dipenuhi orang ramai sempena Easter pada 12 April ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang.

Penjarakan sosial dan langkah kuarantin dilaksanakan di sebahagian besar AS, dengan lebih satu per tiga daripada keseluruhan penduduknya diperintahkan berada di dalam rumah, sekali gus menyebabkan ekonomi terbesar dunia ini tiba-tiba terhenti.

Satu kaji selidik Ipsos/Axios yang dikeluarkan, semalam, mendapati 74 peratus rakyat AS tidak lagi menghadiri perhimpunan besar, manakala 48 peratus pula membatalkan rancangan perjalanan yang menyaksikan lapangan terbang di negara ini lengang.

Malah, kempen pemilihan presiden turut terjejas dengan Trump terpaksa menghentikan siri perhimpunan besar-besaran ke seluruh negara.

Pakar kesihatan menasihatkan, langkah diambil adalah asas untuk membendung wabak itu yang mudah berjangkit dan penularan tidak terkawal berpotensi menyebabkan kematian.

Pada 16 Mac lalu, kerajaan mengisytiharkan ‘15 hari untuk memperlahankan penularan’ yang tempohnya bakal tamat pada awal minggu depan.

Bagaimanapun, Trump semalam menjelaskan beliau berpendapat, tindak balas terhadap kematian akibat virus itu adalah berlebihan.

“Kita kehilangan lebih banyak nyawa akibat kemalangan automobil. Kita tidak meminta syarikat automobil untuk berhenti menghasilkan kereta,” katanya.

Bagaimanapun, Trump pada sidang media kemudian bersama pakar terkemuka kerajaan dalam bidang penyakit berjangkit, Anthony Fauci, ‘mengendurkan’ kenyataannya yang terdahulu berhubung sambutan Easter.

“Kami hanya akan melakukannya jika ia baik,” katanya sambil menambah bahawa pembukaan semula itu berkemungkinan terhad kepada ‘sebahagian’ negara ini dengan menyebut kawasan berladang seperti Texas dan bahagian barat yang lazimnya mempunyai bilangan penduduk sedikit.

Sementara itu, White House semalam memaklumkan bahawa Setiausaha Akhbar Trump, Stephanie Grisham, yang dikuarantin selepas mempunyai kontak dengan pegawai Brazil hampir dua minggu lalu, disahkan negatif COVID-19.

Berdasarkan satu pengesanan jumlah oleh Universiti Johns Hopkins, virus itu telah meragut lebih 700 nyawa di AS, manakala jangkitan disahkan pula kini mencecah hampir 54,000 kes.

AS mencatatkan jumlah kes jangkitan COVID-19 yang ketiga tertinggi di dunia selepas China dan Itali. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X